"Solehah, boleh Hajar bercakap dengan Solehah sekejap? Sibuk?" Hajar mengintai dari tirai pintu bilik rakannya.
"Boleh...Boleh... Masuklah." Solehah meletakkan penanda buku di tempat bacaan tadi sebelum menutupnya rapat. Mengemas buku-buku di tepinya untuk memberi Hajar ruang duduk di sebelahnya.
"Hajar nak sampaikan sesuatu. Rasanya setakat ni Solehahlah orang yang paling sesuai." Solehah hanya mendiamkan diri.
'Sesuai? Tentang apa?' Monolog Solehah sendiri.
Menanti butir-butir kata yang keluar dari mulut rakan sebiliknya. Wajahnya penuh tanda tanya.
"Kawan suami Hajar minta tolong suami Hajar carikan calon isteri untuknya melalui Hajar. Hajar tak nampak calon lain lagi selain Solehah." Ujar Hajar.
Menarik nafas di hujung kata-katanya. Merah padam muka Solehah. Serta merta terasa malu hingga menyebabkan mukanya terasa panas.
"Oh, orang mana?" Solehah cuba menutur kata.
"Tengah menuntut di Mesir. Tahun Akhir." Sambung Hajar lagi.
Solehah hanya diam membisu. Tidak tahu untuk berkata apa. Hanya kedengaran bunyi kipas menemani luahan hati yang tidak terluah.
"Solehah masih belum dipinangkan?" Hajar cuba meneka di balik kebisuan Solehah.
Lama Solehah mendiam diri.
"Belum."
Solehah melihat kembali dirinya selama ini. Mengenali lelaki yang hanya memberi setakat isyarat-isyarat cinta belum membuktikan apa-apa apatah lagi jika tidak pernah ditutur sendiri kepada tuan empunya hati mahupun walinya. Belum pun berkhitbah lagi. Biarpun hati sudah berkenan namun dipendam rapat. Takut-takut ia sekadar fatamorgana perasaan.
Dia melihat antara rakan-rakannya, ada yang hanya menunggu si jejaka biarpun tidak dilafazkan oleh lelaki yang memberi bunga-bunga harapan padanya. Lelaki yang sanggup menunggu untuk pulang dari kelas bersama. Hampir segala-galanya ingin dilakukan bersama. Bersungguh-sungguh si jejaka menunjukkan rasa cinta dan pengorbanannya. Namun, si jejaka tidak pernah mengucap kata-kata untuk menikahinya. Tup.. tup... Apabila berjauhan si jejaka sudah ada lain pasangan. Hampir sahaja mengatakan bahawa dia tidak pernah memberi apa-apa harapan. Tentu saja Solehah tidak mahu menjadi seperti itu.
Solehah tahu hanya dengan peraturan Allah sahaja cinta yang fitrahnya suci boleh dimurnikan dengan undang-undang mengurus fitrah. Agar ia terus kekal bersih dan suci. Sungguh senang untuk menutur kata ingin menjejak langkah Khadijah, ingin menauladani Fatimah, namun, liku-likunya amat terasa.
"Solehah, Hajar ingin ceritakan pada Solehah kisah seorang laki-laki ketika dia menghadap Hasan bin Ali, dia bertanya, "Wahai Hasan, puteriku akan dipinang, kepada siapakah aku harus menikahkan?" Hasan bin Ali menjawab, "Nikahkanlah puterimu dengan orang yang bertakwa. Sebab bila ia mencintainya pasti akan menghormati dan memuliakannya, dan bila ia tidak mencintainya pasti tidak akan menzalimi puterimu."
Hajar serahkan pada Solehah ye. Jika Solehah dah bersedia, beri tahulah Hajar. Solatlah Istikharah dan mohon pada Allah. Moga Allah permudahkan urusan. Allah tahu apa yang terbaik untuk Solehah."
Hajar memegang erat tangan Solehah. Sentiasa cuba memberikan sokongan pada sahabatnya.
Solehah hanya mengangguk-angguk tanda faham. Tanda faham bahawa kehidupan ini hanya kerana Allah dan untuk Allah. Cinta kerana Allah dan kerana ingin redha Allah.
~Ya Allah, jadikanlah cintaku kepadaMu menguasai seluruh yang aku cintai. Dengarlah permohonan hambaMu wahai Yang Maha Mendengar. Jangan Kau biarkan ku sendiri walau sekelip mata pun menentukan takdir untuk diriku. Ameen~
1 comments:
Melafaz? Mungkin belum tiba masanya kak Lin. InsyaAllah, bila sampai seru dari-Nya nanti. =)
Post a Comment