Petang semalam sementara menunggu Maghrib, saya mendengarkan radio Ikim.fm slot Cerna Minda, subtopik Pengurusan Jiwa., dikupas oleh Ir. Ahmad Jais. Ini bukanlah bulat-bulat dari apa yang didengar, namun sebagai ilmu yang sedang diproses disamping untuk disebar-sebarkan.
Sedar atau tidak sedar, Malaysia kini sudah ramai yang bermasalah jiwa akibat dari jiwa yang tidak diuruskan dengan baik. Maka, ramai cuba membunuh diri dan orang lain, sewenang-wenangnya melakukan kerosakan di atas muka bumi tanpa perilaku belas kasihan dan bermacam-macam lagi tindakan di luar kawalan rasional fikiran.
Jiwa yang diuruskan dengan baik dapat bertindak serasionalnya. Jiwa yang tabah dapat menghadapi segala tohmahan tanpa rasa dendam. Jiwa yang positif akan sentiasa optimis terhadap apa yang berlaku di depannya.
Indahnya sebuah keluarga apabila ahli rumahnya dapat menguruskan jiwa. Bapa yang pulang penat dari bekerja masih mampu membantu isterinya dan meluang masa bersama anak-anaknya kerana tenangnya jiwa biarpun di fikiran masih terbayang bebanan tugasan yang bertimbun-timbun di pejabat untuk dilaksanakan. Ibu yang pulang dari tempat kerja juga masih mampu tersenyum ceria tanpa sebarang rungutan menguruskan rumah dan seisi keluarga kesan dari terurusnya jiwa. Anak-anak juga sentiasa menghormati dan memahami ibu bapa biarpun ada ketikanya kehendak mereka tidak dipenuhi ibu bapa. Semuanya kesan dari baiknya pengurusan jiwa. Nah, alangkah indahnya jika sebuah masyarakat yang dipenuhi oleh individu-individu yang dapat menguruskan jiwa mereka dengan baik.
Menguruskan kambing sekandang lebih mudah dari menguruskan jiwa yang dianugerahkan kepada manusia. Jadi, masih ramai lagi manusia yang tidak dapat dengan baik menguruskan jiwanya. Ada rasa hasad dengki, iri hati, cepat melenting dan sebagainya. Sifat-sifat mazmumah umpama lalang yang tumbuh di atas ladang jiwa yang tidak diurus sebaiknya.
Jiwa ini banyak ransangan. Bukan dari internal sahaja bahkan dari persekitaran yang meransang jiwa menjadi 'Ahli Jiwa Kacau' yang harus dimuhasabah dan diurus segera. Ada sahaja dugaan yang datang dari makhluk yang bernama manusia yang sering menguji kekuatan jiwa dan hati. Sentiasa beringat agar buatlah setiap perkara itu kerana Allah, bukan kerana manusia. Kerana mendapatkan redha manusia seperti mengejar dunia yang tiada sudahnya, sehingga ke akhir nafas nanti redha dan matlamat manusia dan dunia itu tidak memberi untung apa-apa di akhirat sana. Redha Allah, Kalam Allah itulah yang selalu diperhatikan dan diberi perhatian.
Usah ketatkan jiwa. Berusaha melapangkan dada. Menjadi hamba yang redha dan bertolak ansur sesama kita selagi ia tidak bersalahan dengan undang-undang yang telah Allah sediakan. Mungkin ada antara makhluk-makhluk Tuhan yang bergelar manusia ini kurang kefahaman. Maka kefahamanlah yang perlu diberikan agar ia bisa membuahkan sebuah kesedaran. Berikan kefahaman dan kesedaran kepada seseorang, mungkin ia dapat disebar-sebarkan kepada yang lainnya pula.
Pengurusan jiwa yang baik tidak akan mengikat ia dengan dunia. Ia hanya berhajat kepada Allah dan hanya kerana Allah. Pemberian maaf kepada yang pernah menyakiti hati itu lebih mulia. Apabila diri terkasar pada kenalan-kenalan kita, rendahkan ego dengan permintaan maaf. Jiwa tak merasa aman terhadap apa-apa yang bersalahan dengan fitrah sucinya jiwa. Jiwa yang mudah sensitif pada persekitaran menunjukkan ia mudah dibentuk, mudah dididik dan diuruskan dengan baik.
Salah satu sifat manusia ialah ia tidak boleh dari manusia atau bermasyarakat. Ia perlu hidup berkumpulan atau berjamaah. Manusia perlu sentiasa diperingatkan kerana ia mudah lupa. Kerana itu jugalah Allah menciptakan manusia berpasangan-pasangan seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik agar keduanya mampu kuat menguatkan dan ingat-mengingatkan. Agar yang lupa itu diperingatkan dan yang ingat itu sedia memberi peringatan.
"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan, dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mngetahui. Blasan bagi mereka ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (itulah) sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal."(Ali-Imran; 67: 133-136).
0 comments:
Post a Comment