Prevention is better than cure.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Dah terhantuk baru nak terngadah.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
~Pepatah orang lama serta Inggeris juga dah beritahu kita lama. Dah berpesan dengan kita. Allah juga dah berfirman minta kita selalu jaga hati dan diri kita. Cuma kita saja yang sering lupa.~
Sunnatullahnya Allah jadikan setiap makhluk di dunia ini harus mengikut peraturan. Tiada yang boleh dibuat sesuka hati. Setiap perkara itu ada had dan batas yang telah ditetapkan. Namun, tetap diberikan kita pilihan dan alternatif agar tidak memilih sempadan batasan yang telah digariskan.
Sebab apa? Sebab Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.
Fitrah manusia itu hidup tidak bersendirian. Perlu pada masyarakat. Kita perlu meneruskan kelangsungan hidup. Perlu beraktiviti, menuntut ilmu, bekerja dan mengajak orang pada kebaikan. Namun, semuanya ada batasan. Agar fitrah yang suci tidak bertukar menjadi fitnah.
Seorang pekerja perlu berhubung dengan rakan sekerja bagi menyelesaikan tugasannya. Seorang daie perlu mengajak orang lain tidak mengira siapa untuk diajak kepada kebaikan, supaya cahaya yang didapatinya boleh dikongsikan bersama dengan yang lain. Seorang pelajar juga perlu berhubung dengan rakan sekelasnya apabila perlu menyiapkan tugasan berkumpulan. Semua ini perlukan batasan apabila berhubungan dengan yang berlainan jantina.
Kadang-kadang bila pemandu kereta sudah biasa membawa kereta di jalan raya, sedar tidak sedar membawa keretanya melebihi had laju yang dibenarkan di lebuh raya. Atau mungkin mahu lebih cepat sampai ke destinasi, kereta dibawa macam nak bawa kapal terbang atau helikopter. Bukankah dah kata had laju yang dibenarkan itu hanya sekadarnya? Tentu ada rasional di sebalik nombor yang tertera. Jika tidak beringat, tentu ditangkap oleh speed trap atau pun berubah menjadi punca kemalangan jiwa.
Letakkan hubungan itu bersama sempadan. Sempadan yang harus selalu ditengok-tengokkan. Agar sempadan yang ketat tidak menjadi longgar. Agar anasir-anasir yang tidak diingini tidak menyusup masuk ke hati. Kita sering memandang remeh pada hubungan. Menghalalkan sesuatu dengan alasan. Alih-alih sebenarnya virus-virus sudah menyerang masuk ke hati.
Hubungan dengan sempadan yang tiada kawalan mengundang berbagai musibah. Awas, musuh-musuh sering menanti peluang. Merosakkan sistem hati yang kurang 'alert'nya pada diri.
Akibatnya, yang dah berkeluarga berantakan. Hubungan si isteri dan suami yang masing-masing tidak menjaga sempadan diri disebabkan kurangnya kawalan sistem hati yang susah nak kesan virus yang sudah merosakkan sistem pertahanan badan. Juga ada kes sehingga sanggup bunuh tunang sendiri akibat cemburu melihatkan sempadan hubungan tunang yang sudah rapuh menanti patah.
Da'wah, kerjaya, persahabatan dan apa-apa saja perhubungan antara berlainan jantina harus sentiasa dalam pemerhatian.
Sistem hati perlu terus memantau sempadan kawalan diri agar yang fitrah tidak menjadi fitnah...
~Moga diri menjadi seperti pohon semalu yang tetap kuat mencengkam bumi, terkuncup malu bila disentuh, berduri mempertahankan diri dan kuncup sendiri bila senja menjelang. Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di jalan-Mu.~
0 comments:
Post a Comment