Salam Aidiladha ingin saya dahulukan walaupun belum sampai waktunya. Maaf, andai blog ini akan diam seketika kerana perlu kembali ke kampung halaman esok hari. Selamat Hari Raya Korban. Maaf sekali lagi dari diri yang banyak khilafnya ini.
Semoga tetamu Allah yang berkunjung ke Tanah Suci mendapat haji mabrur yang dicita-citakan. Semoga yang pergi selamat pulang ke tanah air kembali. Moga pengorbanan yang dibuat di musim Korban ini tidak hanya terhenti di musim ini saja, bahkan menjadi seorang Muslim itu pengorbanan kerana mencari redha dan kasih Allah menjadi satu kemestian selagi mana kita masih bernyawa.
Di kesempatan ini, ingin berkongsi beberapa mutiara kata yang dipetik dari buku yang dibeli 5 tahun dulu sewaktu matrikulasi: 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat. Moga berhasil menjadi peringatan diri sendiri dan teman-teman.
Kebahagiaan
Orang yang berbahagia itu ialah orang yang dapat menguasai hatinya, sebab orang yang dapat memerintahkan hatinya sendiri, lebih besar faedahnya daripada orang yang menaklukkan sebuah negeri. (Hukamak)
Keimanan
Iman menanamkan pandangan hidup, bahawa manusia ini mempunyai kemuliaan di sisi Allah s.w.t, dipandang mulia oleh malaikat dan menjadi pemimpin pada alam ini. Maka timbullah rasa harga diri dalam hati orang yang beriman dan terasa ada hubungannya dengan alam semesta. Lenyaplah perasaan rendah diri dan kekosongan jiwa dalam dirinya.
Orang yang beriman itu merasa bahawa seluruh alam ini berkhidmat kepadanya, para malaikat sentiasa mengawalnya, dan Tuhan penguasa alam ini selalu bersamanya. (Yusuf Al-Qardawi)
Ilmu
Wahai anak kesayanganku, carilah ilmu, kerana apabila engkau menjadi fakir maka ilmu itulah hartamu, akan tetapi kalau engkau kaya, ilmu itu menjadi perhiasan dirimu. (Lukmanul Hakim)
Budi Pekerti
Perkataan yang lemah lembut dan ikhlas itu melembutkan hati yang lebih keras dari batu, perkataan yang kasar itu mengasarkan hati yang lebih halus daripada sutera. (Hukamak)
Kasih Sayang
Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang itu daripada Allah s.w.t, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak akan diperolehi sebagai salah satu anugerah tanpa diiringi usaha dan susah payah. (Abul Islami).
Kematian
Masa lalumu jadikanlah sebagai guru.
Suatu hari akan berganti dan menjadi saksimu.
Apabila hari semalam perbuatanmu adalah bisu.
Segeralah dengan kebajikan dan terpujilah kamu.
Berbuat baik jangan besok ditunggu.
Mungkin besok engkau akan beku. (Hukamak)
Taubat
"Wahai hambaKu, kamu telah mencintaiKu, maka Aku pun mencintai kamu, kamu meninggalkan Aku, maka Aku pun meninggalkan kamu, dan kamu telah durhakai Aku, maka masih Aku tunda siksa untukmu, maka kalau engkau kembali kepadaKu, tentu Aku akan menerimamu. (Hadith Qudsi).
~Selamat Hari Raya Aidiladha 1430 Hijrah...Semoga Allah menerima pengorbanan kita keranaNya.~
1 comments:
Tadhiyah lambang menifistasi cinta.
berkenaan artikel ini, bagus untuk tatapan umum..dan baik untuk ketenangan... tapi kalau anti amik lagi banyak dari Rasulullah kan best...sebab ramai tersangat mengangunginya...
just some advice..
Post a Comment