"Wan, hari ni hari apa?" tanya saya pada nenek sambil meraba-raba kayu api untuk dibakar.
"Hari Khamis. Tak ingat ke?"
"Khamis dah? Esok raya?" Saya memandang sekeliling rumah. Sunyi dan sepi. Semacam tak seperti akan ada perayaan esok harinya. Memandangkan beberapa keluarga saja yang akan balik ke kampung selepas 'office hour' nanti.
Biarpun suasana perayaan Hari Raya Qurban itu tidak terasa tetapi erti pengorbanan itu menyelinap ke jendela hati. Terfikir-fikir oleh saya ketika bersendirian di kampung halaman.
Sebelum itu hayatilah iklan Telekom di bawah ni.
Di zaman yang serba canggih ini, SMS biasanya menjadi pengganti diri. Maka, di perayaan Aidil Adha ini juga kiriman SMS dengan ucapan 'selamat hari raya aidiladha dan selamat berkorban' memenuhi peti 'inbox'.
Namun, apakah cukup dengan hanya kiriman ucapan tanpa penghayatan?
Senario
Seorang ibu tua termenung sendirian, tertanya-tanya apakah anaknya akan balik di hari raya ini. Diamnya tanpa sebarang berita.
Tiada sebarang panggilan telefon, telegram mahupun apa-apa berita disampaikan oleh anaknya.
Kali terakhir berjumpa, anaknya hanya memberikan alasan dan sebab musabab mengapa seringkali si anak diam membisu tanpa berita. Alasan sibuk, banyak kerja, suami tidak mengizinkan menelefon dan sebagainya diberi.
Si ibu tua hanya terdiam membisu.
Namun, hatinya itu selalu rindu pada anaknya yang di kejauhan. Rindu untuk mendengar berita, bertemu muka dan mendengar suara. Lalu, si ibu yang tua itu dengan mata yang sudah banyak rabunnya berusaha mencari nombor telefon anaknya di dalam buku yang disimpan nombor-nombor telefon pentingnya.
"Kenapa Mak telefon?" Anaknya bertanya tatkala mendengar suara ibunya di hujung talian.
Ibunya sekadar memberi sebab sekadar ingin bertanya khabar.
"Lain kali, tak payahlah telefon. Telefon bila mustahak je."
Hati ibu itu sukar memahami. Kata-kata anaknya seperti menghiris-hiris hatinya yang mudah rapuh bila silap disentuh.
Namun, di dasar hatinya dia mengharapkan anaknya kembali padanya. Kembali ke pangkuannya seperti dia masih kecil di mana si anak tidak mahu ibu hilang walau sekejap dari matanya.
Renungan
Itu hanya sekadar melihat erti pengorbanan pada mata seorang anak untuk kedua orang tuanya. Belum lagi saya sentuh untuk yang lebih jauh dari itu. Belum lagi untuk disentuh apa yang perlu kita korbankan demi Islam dalam konteks yang lebih luas.
Berkorbanlah selagi masih kita dikurniakan keringat olehNya, selagi diberi nikmat 5 perkara pada diri kita dan orang-orang kesayangan kita; hidup sebelum mati, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan sihat sebelum sakit.
Pengorbanan yang besar bermula dari pengorbanan yang dilihat tampak kecil. Namun, dari pengorbanan yang nampak kecil itulah kita belajar untuk berkorban ke arah yang lebih besar.
Semuanya lillahitaala.
Kita melatih diri untuk melihat ruang lingkup yang kecil supaya yang kecil ini terurus di daerah hati. Dan ruang-ruang hati kecil yang terurus itu bisa membentuk ruang di hati yang lebih besar.
Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s juga melibatkan pengorbanan kasih sayang dan kekeluargaan. Keluarga yang merupakan unit-unit kecil individu yang bersatu dan membentuk hati-hati masyarakat yang berpadu.
Semuanya yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya adalah dilakukan atas dasar iman.
Bila iman bertakhta di hati, ia akan membisik sendiri kepada kita. Biarpun kadang kala kita terlepas pandang akan sebuah kebenaran, iman itulah yang akan berbisik menunjuk jalan.
Hayatilah pengorbanan bukan hanya setakat di Hari Raya Qurban. Berkorban kerana Allah tidak perlu resah dan susah. Allah sudah janji pada kita bahawa ganjaran akan kita perolehi; jika tidak di dunia pasti di akhirat sana. Percayalah padaNya.
Peringatan juga buat diri sendiri...
~Kata Kak Atiq, senior saya di dalam mesejnya: Hidup ini tak berseri tanpa pengorbanan. Atas apa yang dikorbankan, jika ada niat untuk mendapat redha Ilahi, pasti ganjaran besar menanti. Pengorbanan tak pernah mudah because no pain, no gain. -terima kasih ukhti-~
0 comments:
Post a Comment