~Sahabat yang baik umpama permata bersinar anugerah dariNya. Hargailah ia.~
Semalam saya mengemas bilik setelah selesai minggu peperiksaan berlangsung. Apabila saya mengemas buku-buku, saya terjumpa diari lama saya yang dicoret semenjak di tingkatan 3 dahulu.
Rasa sebak menerpa apabila membaca nukilan sebuah perjalanan persahabatan yang banyak membantu saya erti mencari redha Tuhan dan makna kehidupan. Hilangnya sahabat yang banyak bersabar dengan saya yang masih banyak kurang sabarnya. Sebuah persahabatan yang telah saya sia-siakan.
Lantaran diri yang penuh keegoan tika itu, tidak sekali saya mengucapkan kata penghargaan untuknya. Hanya indirect ucapan dan perbuatan saja yang saya lahirkan agar ia dapat dibaca. Namun, manusia diciptakan bukan perterjemah fikiran dan perasaan yang tepat dan jelas melainkan hanya Allah yang mengetahui segala isi hati. Kurangnya penjelasan hanya membawa kepada pelbagai andaian. Andaian itu mungkin hampir tepat atau jauh sekali dari mesej yang ingin disampaikan.
Manusia juga suka memilih untuk lebih indirect daripada direct ketika menjelaskan sesuatu. Terlalu banyak lapisan juga boleh menghilangkan ketulenan sesuatu yang hendak disampaikan.
Saya tahu pasti ada hikmah yang tersembunyi dari semua ini.
Sahabat yang baik itu sukar dicari. Mungkin harga nilaiannya tidak terbanding dengan kata-kata. Namun, andai benar kita hargai, maka ucapkanlah kata-kata penghargaan itu padanya.
Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapat minyak wangi darinya, maka engkau akan mendapatkan harumnya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya.(Hadith Riwayat Abu Daud)
0 comments:
Post a Comment