::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 28, 2010

Belajar Berkata Cinta



~Teman-teman akhirat diikat hati-hati dengan iman dan cinta kepada-Nya~

"Apabila salah seorang di antara kamu mencintai saudaranya, maka hendaklah ia memberitahukannya."
(HR Abu Daud dan Tarmidzi).

Cerita 1

Malam sudah larut. Diri sudah lena.

Kedengaran lantunan bunyi mesej masuk menggegarkan gegendang telinga.

Mata yang separuh terbuka mencari telefon bimbit di sisi.

Mesej dibaca.

Isinya: 'I love you'.

'Silap bagi mesej ke budak ni?' getus hati.

Sistem pesanan ringkas ditutup kembali. Telefon bimbit diletak tepi.

Mata ditutup rapat menanti lena.


Belajar Berkata Cinta

Hari ini saya nak bercerita tentang belajar mengungkapkan rasa cinta. Mengungkapkan rasa cinta kepada saudara-saudara kita yang telah diikat hati-hati kita oleh-Nya. Sebagaimana cintanya sahabat-sahabat Nabi kepada baginda Rasulullah s.a.w, seperti itu jugalah cinta yang ingin diungkapkan di sini.

Peringatan ringkas ini juga ditujukan kepada diri sendiri sebagai medan muhasabah. Kerana saya terlalu malu untuk mengungkap rasa cinta kepada sahibah-sahibah yang amat saya kasihi dan cintai dengan ikatan iman di hati. Mengapa ya? Adakah malu atau ego sebenarnya?

Dari Anas r.a, ia berkata: Ada seorang lelaki duduk di hadapan Nabi s.a.w, kemudian ada seorang sahabat lain berlalu.
Laki-laki tersebut lalu berkata; "Ya Rasulullah, sungguh saya mencintai orang itu (kerana Allah).
Maka Nabi s.a.w bersabda: "Apakah engkau telah memberitahukan kepadanya?
"Belum" jawab laki-laki itu.
Nabi bersabda: "Maka bangkit dan beritahukanlah kepadanya, niscaya akan mengukuhkan kasih sayang antara kalian."
Lalu ia bangkit dan memberitahukan: "Sungguh saya mencintai anda kerana Allah."
Maka orang ini berkata: "Semoga Allah mencintaimu, yang engkau mencintaiku kerana-Nya."
(HR Ahmad)


Cintailah mereka kerana Allah, maka Allah juga akan mencintai kita. Jujurnya, ada golongan manusia yang sukar mengungkap rasa tapi belajarlah. Mungkin kita lebih suka menunjukkkan dengan perbuatan bahawa kita mencintai teman-teman kita kerana Allah. Hakikatnya, apa yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w itu tentu ada keberkatannya. Baginda menganjurkannya kerana baginda cinta akan perbuatan itu, lalu contohilah baginda, nescaya Allah juga pasti akan mencintai kita.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
Sesungguhnya ada seseorang akan berkunjung ke tempat saudaranya yang berada di desa lain. Kemudian Allah taala mengutus malaikat untuk mengujinya. Setelah malaikat itu berjumpa dengannya, ia bertanya: "Hendak ke manakah kamu?"
Ia menjawab: "Saya akan berkunjung ke tempat saudaraku yang berada di desa itu."
Malaikat bertanya lagi: "Apakah kamu merasa berhutang budi padanya sehingga merasa perlu mengunjunginya?"
Laki-laki itu menjawab: "Tidak. Aku mengunjunginya semata kerana Allah ta'ala.
Malaikat kemudian berkata: "Sesungguhnya saya adalah utusan Allah untuk menjumpaimu, dan Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah."
(HR Muslim)


Saya merasakan cinta yang terikat dengan iman ini sangat dalam kerana apabila sahabat menangis dan bersedih, saya juga turut merasa pedihnya. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan saya. Teman-teman yang amat dikasihi dan dicintai, ana uhibbukunna fillah. Saya sayang dan cinta kamu kerana Allah.


~Moga ikatan hati-hati dengan iman ini mendapat redha-Nya jua~

Feb 26, 2010

Rasulullah, Dirimu Begitu Istimewa



~Malu rasanya mengatakan cinta kepada dia kekasih Allah, kerana dia insan mulia sedangkan diriku insan biasa~

Selawat dan salam atas Nabi junjungan, Muhammad s.a.w, ahli keluarganya serta para sahabat baginda.

Pagi 12 Rabiulawal Tahun Gajah, hening subuh bercahaya menerangi seluruh alam. Kelahiran seorang bayi yang dinanti-nanti. Ribuan tahun nyalaan api sembahan Majusi juga terpadam. Itulah istimewanya kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Biarpun tidak pernah melihatnya, sesiapa saja yang mengenali personalitinya, yang membaca sirahnya pasti akan terpesona dengan watak dan akhlaknya. Semua sifat-sifat mahmudah itu ada padanya. Padanya ada suri tauladan. Pada baginda itu ada qudwah hasanah untuk diteladani umat sepanjang zaman.

Jika tidak kerana pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad, serta limpahan air mata dan darah baginda serta para sahabat, tentu sekarang ini tiada nikmat Iman dan Islam yang dikecapi oleh diri ini.

Rasa malu dengan diri sendiri. Sekiranya Rasulullah masih ada di sini dan melihat umatnya begini, maka apakah perasaan baginda Nabi?

Kalimat terakhir dari mulut Rasulullah sebelum menghembus nafas terakhir adalah "Ummati, ummati, ummati..." iaitu umatku, umatku, umatku. Betapa istimewanya kita pada diri Rasulullah yang amat mencintai umatnya. Sekiranya kesakitan maut itu juga boleh digalas oleh Nabi untuk semua umatnya pun baginda masih sanggup. Hanya saja Allah yang tidak mengabulkan permintaannya.

Saya juga bertanya pada diri. Sejauh mana kita kata kita cinta pada Nabi Muhammad s.a.w dan kita benar-benar menjunjung cinta itu? Sejauh mana kita benar-benar ingin menjadi pewaris perjuangan Nabi? Sejauh mana kita benar-benar mengingati baginda dalam tiap hari yang kita lewati?

Ya Rasulullah, maafkanlah kami. Kami berasa malu terhadap diri kami setelah begitu banyak limpahan keistimewaan yang Allah beri kepada kami hanya kerana kami ini umatmu, ya Rasulullah.

Ya Nabi Allah, kami punya banyak kelemahan diri. Pohon agar kami tetap menjadi ummatmu, menghargai nikmat Iman dan Islam yang kami miliki dengan limpahan darah dan air matamu. Sesungguhnya engkau Muhammad utusan Allah, menjadi tauladan sepanjang zaman. Tiada yang dapat mengganti keistimewaanmu pada kami ya Rasulullah. Kami adalah ummatmu dan kami ingin kembali menemuimu kembali di negeri abadi. Kerana kami cinta padamu. Kerana kami rindu bertemu denganmu.

Semoga Allah melimpahkan rahmat atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat baginda.

Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
(Ali-Imran; 3:31)


~Rasulullah, kau begitu istimewa~

Feb 24, 2010

Jalan Hidup Penuh Hikmah



~Dia Maha Tahu. Serahkan hatimu pada-Nya. Yakinlah!~

22. Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa diri kamu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.

23. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri,

24. Yaitu orang-orang yang kikir dan menyuruh orang lain berbuat. Barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah), Dia Mahakaya, Maha Terpuji.
(Al-Hadid; 57:22-24).


Segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat Iman dan Islam, bahkan banyak lagi kenikmatan yang tidak dapat ditulis dengan pena.

Saya cuma nak berkongsi suatu cerita untuk kita fikir-fikirkan.

Cerita Si Pengembara

Al-kisah seorang pengembara merentasi sebuah negeri. Si pengembara merancang untuk meneruskan pengembaraan ke seluruh pelusuk negeri yang luas ini.

Oleh kerana si pengembara ini masih asing di negeri itu, maka, didatanginya pusat perkhidmatan pelancongan bagi memandu arah si pengembara tadi. Lalu, datanglah 3 orang penduduk negeri tersebut yang ingin menawarkan perkhidmatannya sebagai pemandu pelancong kepada si pengembara.

Pada mulanya, datang si pemandu pelancong yang pertama. Entah mengapa, setelah dilihatnya dari pandangan pertamanya, ternyata si pengembara tadi sukar mempercayai pemandu pelancong ini.

Kemudian, pengembara bertemu pula pemandu pelancong yang ke-2 dan ke-3. Ketua pusat pelancongan ini tiba-tiba meminta si pengembara menerima pelawaan pemandu pelancong yang ke-3. Dengan keyakinan yang telah diberi oleh ketua pusat pelancongan itu, maka, si pengembara bersetuju mengikut pemandu pelancong yang ke-3.

Ketiga-tiga pemandu pelancong ini membawa 'client' masing-masing melalui jalan yang berlainan.

Pemandu pelancong yang ke-3 ini membawa si pengembara melalui kawasan hutan. Pemandangannya sangat indah. Pohon-pohon tumbuh segar dan liar. Namun, tidak semena-mena, si pengembara tadi terpijak duri di atas jalan. Lalu, berjalanlah dia dengan kaki yang terhincut-hincut. Baru separuh perjalanan bermula, pemandu pelancong yang ke-3 itu terpaksa menghantar pulang si pengembara tadi.

"Kalau aku ikut pemandu pelancong yang ke-2 tadi atau pun yang pertama tadi mesti tak jadi macam ni." Getusnya sendiri.

Setelah pulang dari perjalanannya dan berpatah balik, si pengembara ingin segera mengadukan masalah tersebut kepada ketua pusat pelancongan tadi. Dalam hatinya tertanya-tanya mengapa ketua pusat pelancongan meminta dia memilih pemandu pelancong yang ke-3 tadi.

Lalu, sementara menunggu ketibaan ketua pusat pelancongan, maka ketemulah si pengembara dengan orang-orang yang mengikut pemandu pelancong pertama dan ke-2 tadi yang juga ingin mengadukan hal mereka.


Cerita orang yang mengikut pemandu pelancong yang pertama:

Pelanggan itu dibawa menikmati keindahan pantai di negeri itu. Kemudian, datang seorang kapten kapal mewah yang berlabuh menawarkan pekerjaan baru yang lebih lumayan gajinya kepada pemandu pelancong pertama. Pemandu pelancong pertama langsung menerima tawaran itu dan membiarkan pelanggannya sendiri di situ.

Cerita orang yang mengikut pemandu pelancong ke-2:

Pelanggan pemandu pelancong yang ke-2 pula dibawa jauh ke hujung negeri. Katanya, ada kawasan yang lebih menarik di situ. Rupa-rupanya, di situ pelanggan itu dirompak oleh pemandu pelancong tadi. Kemudian, dia melarikan diri.

Si pengembara termenung sebentar... Rupa-rupanya ada hikmah mengapa dia disuruh mengikuti pemandu pelancong yang ke-3 ini.

Hikmahnya?

Kadang-kadang kita rasa kita sudah melalui jalan yang cukup berliku. Tapi mungkin inilah jalan yang paling kurang durinya yang Allah mahu bagi pada kita.

Jika kita berhadapan dengan kesusahan setelah memilih satu-satu jalan dalam hidup setelah bertawakkal kepada Allah, kita harus yakin pada Allah.

Bila berhadapan dengan ujian atau masalah, kita mungkin fikir alangkah bagusnya jika dulu aku buat begini. Atau alangkah bagusnya jika dulu aku tak pilih jalan ini. Tidak perlu mengeluh. Bila kita sudah minta petunjuk Allah, kita sudah yakin pada Allah, kita perlu tawakkal.

Kadang-kadang mungkin kita tak tahu sebenarnya Allah nak selamatkan kita daripada bencana yang lebih besar. Sebab itu Allah beri bencana yang kecil sebagai tanda kasih dan sayang-Nya pada kita.

Allah sebenarnya sangat sayangkan kita. Hatta lebih dari sayang kita pada diri sendiri.

Bila kita belum nampak hikmahnya, bersabarlah. Suatu hari, insyaAllah, Allah akan tunjuk kepada kita hikmah dalam setiap apa yang telah kita serahkan kepada Allah.

Jika kita serah sepenuhnya takdir kita pada Allah, kita harus percaya bahawa Dialah pengatur terbaik dalam hidup kita. Dia tahu apa berada pada waktu semalam kita dan Dia juga Maha Tahu apa yang berada nun jauh di hadapan kita. Seluruh langit, bumi dan isinya ini adalah dalam genggaman-Nya.


~Wahai Tuhan, syukurku pada-Mu...~

Feb 21, 2010

Nota Buat Saudaraku



~Sebaik-baik Muslim itu adalah yang sentiasa memperbaiki dirinya~

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Allah yang mengurniakan hidayah dan Allah beri petunjuk pada manusia. Allah juga yang memilih siapa di antara kita yang diberikan nikmat Iman dan Islam.

Kata-kata Dr. Azizan masih saya ingati:
"Orang yang ikhlas akan istiqamah. Tetapi orang yang tidak ikhlas, Allah akan menyingkirkan dia."

Selesai Usul Isyrin, hati rasa sangat lapang. Sangat tenang. Bersyukur pada Allah kerana diberitahu dan faham apa itu 'faham'.

Banyak yang saya perlu perbaiki. Semakin banyak kita tahu dan faham, semakin kita kenal diri bahawa semakin banyak yang perlu kita tahu dan pelajari. Semakin banyak yang perlu dikoreksi.

Maka dengan rendah hati, dan dengan jiwa yang penuh kelemahan serta perlu banyak pembaikan diri, saya menuliskan nota ini.

Nota Buat Saudaraku

Saya adalah manusia biasa. Yang juga ada jatuh bangunnya. Saya teringat kisah seorang sahabat Rasulullah yang sudah hampir membunuh seorang musyrik ketika perang antara orang Islam dan orang Musyrikin. Ketika pedang yang dihunuskan hampir mengenai, musyrik itu meludah ke muka sahabat tadi. Maka, sahabat itu menarik kembali pedangnya. Kerana beliau tidak mahu membunuh kerana marahnya, dan bukan kerana Allah.

Maafkan saya saudaraku. Andai buat pertama kali saya jelas mengikut emosi diri. Nasihat yang berupa emosi jarang dipandang sebagai nasihat. Maafkan diri ini yang banyak khilafnya.

Saya sudah lama berlapang dada dengan anda. Tiada lafaz 'tiada maaf untukmu' yang pernah terbit di hati saya. Jika ada kesilapan tidak akan saya simpan ia sebagai dendam kesumat atau kebencian yang hanya menghancurkan diri. Saya sentiasa mengharapkan ada perubahan. Ada pembaikan. Biarpun pembaikan itu tidak dapat mengubah sejarah semalam dan keadaan. Anda berhak melakukan pembaikan diri. Kerana anda adalah seorang Muslim, dan setiap Muslim itu perlu bergerak ke arah yang lebih baik.

Jika kedamaian yang anda mahukan, tiada hunusan pedang dari saya untukmu saudara. Saya berlapang dada dengan anda. Saya mahu anda jadi Muslim yang terbaik dalam hidup ini. Jadi hamba yang Allah redha dalam hidup ini. Kerana itulah pengakhiran hidup yang kita cari.

Jika kita benar, Allah pasti membuktikan isi hati kita.

Maaf sekali lagi dari hamba-Nya yang kerdil ini.
Akhir kalam, semoga Allah meredhaimu dan kamu menjadi orang-orang yang dicintai-Nya.

Feb 19, 2010

Tetap Pendirian



~Indah hidup bila matlamat hidup juga jelas; Mardhatillah~

Kepala saya pening bila berhadapan dengan manusia-manusia yang tidak tetap pendirian. Manusia yang dianggap it's complicated ni memang wujud sebenarnya.

Apabila matlamat tidak jelas, jalan arah tujunya pun tidak jelas.

Cerita 1

"Macammana ya kita nak buat keputusan ni?"tanya seorang rakan pada suatu hari. Air matanya merembes.

Masalahnya ialah tidak tahu memilih lelaki yang mana untuk dibuat suami. Seorang amat disayangi namun, hubungan terhalang oleh ibu dan ayah. Seorang lagi berada berdekatan dan amat rela pula menyayanginya, sanggup terus berjumpa ibu bapa.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Bukan sekali dua kami bertemu untuk membincangkan masalah ini. Tapi dah banyak kali. Walaupun dah banyak kali, saya harap dia berubah. Berubah untuk lebih tegas pada diri.

Akibat tiada keputusan yang jelas dibuat, lalu, kedua-dua lelaki ini terus dihubungi.

"Tak payahlah nasihat dia tu. Kita pun dah rasa malas dah." Ujar seorang rakan lagi.

Namun, dalam hati saya bukan begitu. Dari jauh, saya masih berharap ada perubahan pada dirinya sendiri.

Tetap Pendirian

Dalam hidup ini, kita harus berani membuat keputusan. Serta berani untuk berhadapan dengan risiko keputusan kita.

Tidak kiralah dalam mencari pasangan hidup ke, atau membeli barang ke, atau merancang untuk bercuti ke dan lain-lain. Apa-apa saja perlu ketetapan pendirian. Jika tidak satu hari nanti kita jadi seperti Lebai Malang dalam cerita Melayu lama. Nak kejar ke kenduri di hulu tak dapat, nak kejar ke kenduri di hilir tak sempat.

Bila kita tetap pendirian, kita punya matlamat yang jelas untuk apa yang ingin kita capai. Bila sudah ada matlamat, kita tahu perancangan yang sepatutnya yang harus kita buat untuk capai matlamat tersebut. Sertakan sekali 'time frame' nya kalau boleh. Perkara sebegini juga memang selalu kita buat kalau kita buat program.

Tapi jika melibatkan 'program' dalam hidup, kita kena lebih disiplin. Kena lebih tegas pada diri. Kita berbincang dan merancang untuk sebuah kehidupan. Hidup ini amanah Tuhan. Allah tak jadikan kita hidup ini sia-sia atau main-main saja.

Cakap Secara Jelas

Seorang yang tetap pendirian biasanya akan terus melahirkan pendapatnya secara jelas. Bukan sekadar cakap di atas angin atau di atas pagar. Berlapik-lapik hingga tiada kejelasannya.

Mungkin ada yang kata bila cakap berlapik-lapik ini atau sengaja 'beat around the bush' ini lebih sopan bunyinya. Tapi jika hingga hilang kejelasan apa yang hendak disampaikan, maka hilanglah maknanya.

Usah sampai kata-kata yang sangat tidak jelas itu bertukar menjadi perkara yang menyusahkan.

Lihat saja Rasulullah sendiri, dalam menyampaikan wahyu baginda amat tegas biarpun penuh dengan kelembutan. Jika baginda tiada ketegasan dalam menegakkan yang haq, maka dakwah Rasulullah pada hari ini mungkin tidak sampai pun kepada kita.

Fikir-fikirkanlah...

"Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu daripada keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedunya dengan adil, dan berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil."
(Al-Hujurat; 49:9)

Feb 18, 2010

Al-Quran Bujukan Hamba


~Bacalah Al-Quran, nescaya jelas bicara-Nya pada kita.~


"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu. Masuklah ke dalam syurga-Ku."
(Al-Fajr; 89 : 29-30)


Pernah merasai hati yang sakit dan jiwa yang terhimpit?

Tiada ubat 'anti-depressant' atau ubat penenang yang mujarab untuknya. ECT (Electroconvulsive therapy) atau rawatan kejutan otak pada pandangan saya juga bukanlah terbaik menjadi penawar penyakit ini.

Apa yang terbaik?

Ubat yang paling mujarab ialah Al-Quran.

Apabila kita ingin berbicara dengan Allah, kita berdoa pada-Nya, kita sujud dan menghadirkan diri dalam solat untuk-Nya. Apabila kita ingin membaca kiriman surat cinta dari Allah, kita baca Kalam-Nya; Al-Quran.

Dia mengingatkan kita tentang azab seksanya api neraka supaya kita meninggalkan laranganNya dan sentiasa mentaatiNya. Dia memberitahu kita ganjaran dan kenikmatan syurga bagi orang-orang yang bertakwa supaya kita selalu meningkatkan keimanan kita padaNya. Supaya rasa rindu dan cinta kita yang utama itu hanya untukNya.

Apabila kita dilanda kesah, dilanda sendu, kita berinteraksi dengan Allah. Dan sering kita dapati Allah mendengar rintihan kita. Dari ayat-ayat yang kita baca melalui Kalam-Nya, Dia sedang berbicara dengan kita. Dia sentiasa bersama kita.

Apabila kita berhadapan dengan masalah, Dia menunjukkan jalan penyelesaiannya kepada kita melalui Al-Quran. Dia menasihati kita. Dia menegur kita. Kerana Dia tahu isi hati kita. Kita adalah hamba-Nya.

Petunjuk itu ada di dalam bicaraNya, di dalam Al-Quran tinggalan Rasulullah s.a.w kepada kita.

Pernahkah bila kita membaca Al-Quran, kita menangis, mengalirkan air mata deras ke pipi? Walhal kita tidak memahami isi kandungan yang dibaca. Itulah sebenarnya jiwa kita. Jiwa kita sedang menangis. Al-Quran sedang meleburkan karat di hati, menjernihkan ia kepada fitrah yang suci.

Sesekali juga saya sering dilanda dilema membuat keputusan, tapi Allah tunjukkan jalan. Kita perlu yakin dengan Allah. Perlu bersama dengan Allah. Kerana orang-orang yang beriman dan berkeyakinan dengan pertolongan Allah, pasti akan diberikan petunjuk dan hidayah untuknya.
Allah pasti akan membantu.

Merintihlah dan menangis akan kelemahan kita dengan Allah. Allah pasti mendengar dan mengetahui isi hati kita.

"Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya, seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkahi, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahanya-Nya bagi orang-orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(An-Nur; 24: 35)

~Al-Quran itu cahaya-Nya yang menerangi jalanmu yang kelam dan sepi.~

Feb 17, 2010

Redha Allah dan Redha Ibu Bapa


~Untuk menggapai redha Allah, usah dibelakangi ibu dan ayah.~

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah s.a.w bersabda:
Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.
(Hadith Riwayat Tarmizi)

Alangkah terpuji kisah Uwais Al-Qarni yang amat berhajat menemui Rasulullah kerana cintanya pada baginda. Beliau hanya pemuda miskin yang tidak dikenali di tempatnya, namun cukup disebut-sebut seluruh penghuni langit kerana ketaatannya pada ibunya. Ke mana-mana dia pergi, ibu tua dan tiada daya itu digendongnya.

Hingga kini, nama Uwais Al-Qarni terus menjadi sebutan, kerana dia seorang anak yang soleh.

Allah memuliakan kedudukan ibu dan bapa kepada kita. Kita hanya punya satu ibu dan satu bapa saja di dunia. Buruk atau baiknya, dialah orang tua kita. Yang wajib kita taat padanya melainkan hal-hal yang bercanggahan dengan perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya. Hatta pada seorang mualaf yang memeluk Islam sementara ayah dan ibunya masih belum beriman kepada Allah dan Rasul, hak-hak mereka sebagai ibu dan bapa harus ditunaikan selagi tidak menyalahi perintah dan larangan-Nya.

Ibu bapa menyayangi anak-anak yang telah mereka besarkan dengan susah payah selama ini. Mereka inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sebab itu juga mereka ingin melindungi anak-anak mereka, iaitu diri kita.

"Bersyukurlah kepada Aku dan kedua ibu bapa kamu."
(Luqman:14)

Adakalanya kita bercanggah pendapat dengan ibu dan bapa. Mungkin ibu bapa kita kurang faham atau mungkin kita yang tidak faham mereka. Carilah puncanya. Tentu ada rasional di sebalik tentangan mereka. Berbincanglah.

Bagaimanapun, mereka tetap ibu dan bapa kita.

"Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah dan pohonkanlah keampunan untuk mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal."
(Ali-Imran; 3:159)


Bacaan lanjut:
Ustaz Hafiz Firdaus
Ustaz Hasrizal
Usrah Keluarga

~Gembira bercuti bersama ibu dan abah. Melihat wajah mereka juga kita beroleh pahala.~

Antara X dan Y


~Maka beruntunglah lelaki-lelaki yang soleh dan beriman, serta perempuan-perempuan yang solehah dan beriman.~


"Kak Long, kenapa lelaki dengan perempuan tak sama?"

"Kenapa Allah ciptakan perempuan macam tu?"

Masih teringat lagi antara soalan bertubi-tubi daripada adik sepupu saya yang baru berusia 14 tahun. Soalan yang memerlukan jawapan yang tepat, yang boleh difahami dan tidak boleh ditembak begitu saja. Dari kecil lagi dia memang suka bertanya, namun, apabila sudah ke sekolah semuanya satu jantina lebih banyak pula soalannya.

Sekadar perkongsian, moga mendapat manfaat bersama.



Wahai kakakku?
Kenapa lemah sungguh kaum hawa itu?
Asyik berteman tangis dan sendu sahaja.

Wahai adikku,
Bukan kaum wanita itu lemah dek kerana tangis dan sendunya.
Tetapi di situlah adikku kekuatan bisa meleburkan ego seorang lelaki.
Menjadi izzah yang paling gah, bahkan lebih gah dari egonya seorang lelaki.
Kerana sendu rayunya Musa a.s terselamat dari kekejaman Firaun.

Duhai adikku,
Lembut wanita itu bukan lemah tetapi senjata.

Namun, wahai kakakku,
Wanita itu fitnah dunia.

Pernahkah adikku dengar pesanan Ilahi pada hambaNya?
"Wahai lelaki-lelaki yang beriman, tundukkanlah pandanganmu dan tutupkanlah auratmu."
Cuba adik nilai pada siapa dulu yang Allah dahulukan pesananNya?
Pada hamba yang bergelar ar-rijal kerana andai si lelaki menjaga pandangannya maka tidak mungkin akan terlihat wanita yang menjadi fitnah pada dirinya.
Dan tidaklah Allah lupakan pesanan buat wanita agar memelihara auratnya kerana di situlah kehormatannya.
Bukan fitnah semata-mata jikalau ar-rijal dan an-nisa' sama-sama mematuhi pesanan Ilahi itu.
Sesungguhnya wanita yang beriman yang solehah dan beriman itu lebih baik dari ribuan lelaki yang soleh.

Tetapi kakakku, mengapa wanita itu menjadi peragaan?
Tidakkah mereka merasa malu?

Wahai adikku sayang,
Al-Haya' (sifat malu) ada dalam diri setiap insan.
Wujudnya seiring dengan nafas insani.
Dan Al-Haya' itulah pakaian iman.
Pada diri wanita itu indah Al-Haya' sebagai pembenteng diri.
Namun, bila Al-Haya' itu lebur, imannya runtuh.
Kenapa mereka merelakan diri menjadi peragaan?
Kerana mereka sebenarnya paranoid.
Merasakan diri belum cukup menarik.
Mereka sebenarnya yang kalah dari segi psikologi.

Namun, adikku,
Wanita solehah itu pasti melindungi diri dari perbuatan murahan itu.

Wahai adikku,
1001 keindahan penciptaan wanita, pandai-pandailah dikau menilai antara permata dan debu-debu kilauan pasir.

Wahai adikku,
Janganlah adik gusar, tatkala tiada lelaki yang hadir memetikmu dan jangan engkau sekali-kali merendahkan dirimu, menggugurkan diri, menyembah tanah sedangkan sebenarnya engkau telah Allah jadikan tinggi martabatmu.

"Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka mengapa kamu tidak memperhatikan?"
(Az-Zariyat; 51:20-21)

Feb 15, 2010

Cuti-cuti Pertengahan Semester



~Detik masa yang berlalu tidak akan kembali.~

Hari ini sudah hari ketiga kami pelajar-pelajar kulliyyah kejururawatan bercuti pertengahan semester sementara pelajar-pelajar kulliyyah lain sudah kembali dari musim percutian. Bermakna hari ini sudah hari ketiga saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Cuti seminggu yang sebentar ini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Namun, masih belum dibuat lagi jadual harian saya sepanjang minggu ini. Hanya perancangan di minda saya, belum tertulis di atas kertas. (Em, sesuatu perlu dilakukan.)

Hari ini dan semalam ketika di waktu petang, saya, Ma dan Abah meluangkan masa di Taman Botani, Putrajaya setelah menjemput Ma pulang dari pejabatnya di Lembaga Peperiksaan. Kami berjalan kaki di sekitar kawasan Taman Botani sambil menghirup udara segar. Berpeluh juga rasanya turun naik bukit di Taman Botani ni. Tertunai juga hak fizikal tubuh badan di musim cuti begini.

Ma kelihatan penat balik dari pejabat. Berehat sebentar.


Masih berbaki tujuh hari lagi cuti saya. InsyaAllah, hari Sabtu dan Ahad ini akan terisi sepenuhnya. Kemudian, balik saja ke kampus ada satu lagi kertas peperiksaan menanti; Health Management and Hospital Administration.

Demi Masa

Ya, saya harus manfaatkan masa ini sepenuhnya. Menyenaraikan perkara-perkara yang perlu saya lakukan setiap hari agar tiada tugasan yang keciciran. Agar hak pada jiwa dan hati juga terjaga dan tidak terisi dengan perkara-perkara yang tiada manfaatnya.

Masa yang ada juga harus dimanfaatkan untuk penambahbaikan diri. Teringat perkongsian sahabat dan murabbi saya, bahawa tasik hati ini perlu sentiasa dijaga. Harus memilih bahan-bahan yang ada untuk dimanfaatkan. Jika tidak, dari sekecil-kecil perkara boleh memberi kesan kepada jernih atau keruhnya tasik hati.

Hati bukan saja perlu dijaga untuk manfaat diri sendiri. Bahkan apabila memandang ke hadapan, saya juga perlu jaga kandungan hati dan jiwa saya untuk anak-anak pewaris nanti. Saya juga mengingatkan diri ini bahawa tarbiyah (pendidikan) anak-anak sepatutnya sudah pun bermula sekarang. Tidak perlu tunggu bila ruh sudah ditiup ke alam rahim atau tunggu bila sudah ada calon untuk dinikahi.

Wahai diri, jika sekarang pun dirimu payah ditarbiyah, bagaimana ingin mentarbiyah anak-anak pula nanti?

Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
(Al-'Asr; 103:1-3)



~Mari sama-sama memperbaiki diri...~

Feb 14, 2010

Kerana Dia Menyayangimu



~Dia sentiasa bersamamu kerana Dia menyayangimu...~

Selagi kita masih bernyawa dan diberi nafas oleh Allah di atas muka bumi ini, selagi itulah Allah akan menguji hamba-hambaNya. Ia boleh berupa ujian-ujian kecil mahupun besar.

Ujian-ujian yang Allah beri adalah sesuai dengan kemampuan setiap hamba.

"Allah tidaklah membebani seorang hamba itu melainkan sesuai dengan kemampuannya..."
(Al-Baqarah; 2:286)


Seringkali, kita tidak mampu untuk mengubah keadaan dan situasi. Namun, kita boleh mengubah persepsi terhadap apa yang kita hadapi. Pilihlah untuk menjadi optimis atau pesimis. Pilihlah untuk bersangka baik dengan Allah ataupun sebaliknya.

Di sinilah bermulanya perubahan terhadap diri kita sendiri. Perubahan terhadap cara pandang, yang perlu dimulakan dari hati. Berubah untuk menjadi manusia yang sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Jika kita rasa hidup kita sudah tiada makna, maka apakah Allah ciptakan kita hidup di atas muka bumi ini sia-sia? Apakah segala nikmat yang Allah beri kepada kita selama ini, tiada timbal balik yang harus kita kembalikan kepada Allah walau hanya sekadar untuk patuh dan taat pada perintahNya?

Fikir-fikirkanlah.

Saya teringat perumpamaan ringkas yang diberi oleh Ustaz Pahrol Juoi ketika kunjungan beliau ke UIAM Kuantan.

Diumpamakan manusia berada di bahagian bawah, berhampiran sebuah bangunan. Apabila orang yang berada di tempat tinggi memberi makanan kepada orang di bahagian bawah, manusia yang menerima makanan sering lupa untuk berterima kasih kepada yang memberi. Sebaliknya sibuk mengambil makanan yang diberi. Sehingga satu tahap orang memberi dari atas terpaksa melempar batu ke bawah supaya yang di bawah terngadah ke atas. Supaya manusia yang menerima, mengingati Dia Yang Maha Pemberi kepada hamba-hambaNya.

Perlu ingat bahawa Allah amat sayangkan hamba-hambaNya melebihi sayang diri kita pada diri sendiri. Dia mahu kita selalu mengingatiNya melebihi dunia dan seisinya ini.

"Wahai Musa, tidaklah aku menciptakan suatu makhluk yang lebih Aku sukai daripada hambaKu yang beriman. Aku mengujinya untuk kebaikannnya dan menghilangkan ujian daripadanya untuk kebaikannya. Aku mengetahui apa yang baik bagi hambaKu. Maka bersabarlah atas ujianKu. Bersyukurlah atas rahmatKu, dan redhalah atas qadha' ketentuanKu. Aku menuliskannya dalam golongan orang-orang yang benar di sisiKu, apabila dia bekerja dengan redhaKu dan mentaati perintahKu."



~Ketenangan dan kebahagiaan itu datang dari hati. Hati yang sentiasa kaya dengan nikmat Iman dan Islam yang ada padanya.~

Feb 11, 2010

Dunia Ini Bukan Untukku



~Tiada kekuatan melainkan kekuatan yang diberikan-Nya...~

Terima kasih buat sahabatku sayang, Asma' Ahmad Bahari yang berkongsi statusnya di Facebook yang turut sama menyedarkan saya dari lamunan.

Saya rasa diri ini masih banyak lagi yang perlu saya baiki. Banyak lagi lompang-lompang dalam diri ini yang perlu saya tutupi.

Perjalanan ini bukan saja untuk diri sendiri. Diri ini lahir sebagai hamba, bahkan diciptakan sebagai Khalifah di muka bumi Allah.

Perlu sentiasa istiqamah dan konsisten. Perlu lebih baik dari semalam. Jika diri berasa lemah, saya perlu kembali kepada Allah.

Tiada guna ada rasa ingin berlari marathon dari kutub utara ke kutub selatan untuk lari daripada masalah. Tiada guna jika ingin tinggal di iglu sejauh planet Pluto semata-mata kerana tidak mahu lagi berhadapan dengan karenah dunia.

Ini adalah pentas untuk menambah amal dan bakti. Hidup memang penuh pancaroba. Penuh dengan manusia yang menduga.

Teguhkan hati. Merintihlah kepada Allah. Usah rasa malu untuk menangis di hadapan-Nya. Kerana hakikatnya kita manusia kerdil dan lemah. Hanya akan kuat dengan pertolongan dan kuasa Allah.

Wahai diri, inilah dunia!
Yang hanya diibaratkan sebagai bangkai keldai oleh baginda.

Dunia ini bukan diciptakan untukmu bersenang-senang di atasnya. Inilah pentas amal sebelum ke dunia abadi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Muhammad; 47:507)

Feb 10, 2010

Teman Sejati



~Moga keterikatan hati-hati dengan iman ini sentiasa dalam redhaNya...~

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Seseorang itu mengikuti (tabiat) siapa yang dicintainya."
(H.R Bukhari & Muslim).


Melihatkan pengorbanan sahabat-sahabat Rasulullah yang bersama-sama berjuang dan terkorban di medan jihad menyebabkan hati tersentuh.

Tersentuh kerana sahabat-sahabat inilah sahabat-sahabat yang diibaratkan seperti permata yang sukar dicari. Setianya, kebersamaannya, pengorbanannya dan kejujurannya menjadikan meraka insan-insan terpilih untuk didampingi.

Yang paling menyedihkan apabila hampirnya peristiwa wafatnya Nabi Muhammad s.a.w dan turun ayat yang mengatakan bahawa sudah disempurnakan agama ini olehNya, maka, sahabat-sahabat ini amat bersedih hati. Hingga kedengaran tangisan Abu Bakar memenuhi seluruh ruang rumahnya dan didengari oleh sahabat-sahabat yang lain.

Nilaian ukhuwwah dengan iman amat berbeza dengan nilaian persahabatan kerana ada sesuatu kepentingan yang berupa keduniaan. Amat berbeza dan tidak sama.

"Seseorang itu sesuai agama kekasihnya, maka hendaklah salah seorang dari kalian memperhatikan siapa yang dijadikannya teman."
(H.R Abu Daud, Tarmizi dan Ahmad).


Buat semua teman-teman yang amat saya hormati, yang saya sayangi dan yang sentiasa bersama menguatkan diri ini di kala kelemahan, terimalah nukilan dari hati:


Teman Sejati

Teman,
Untaian ukhuwwah ini kukuh
Di tali iman yang teguh
Diulit bagi menggapai redha
Terus menerobos ke angkasa cintaNya

Teman,
Tatkala aku tersenyum
Ceriamu menguntum
Tatkala aku gelisah
Jiwamu resah
Kau ada dalam tawaku
Kau jua dalam senduku

Teman
Tika aku dalam perjuangan
Kau jadi perisainya
Tika aku kelukaan
Kau hulur penawarnya

Kau kuatkan diriku
Kau ukir senyum di bibirku
Kau bimbing diriku yang buntu
Kaulah temanku

Tuhan
Syukur atas kurniaan
Teman sejati memilih diri
Anugerah dagang di akhir zaman
Dalam aku keapungan
Dialah teman

Teman
Terima kasih atas perhatian
Hanya ganjaran dariNya untukmu
Seperti sahabat-sahabat baginda tercinta
Yang sentiasa mendamba cinta dan redha-Nya.

Feb 8, 2010

Baktisiswa Bersama 2010


~Kembara mencari redhaNya...~

Saya baru saja kembali dari Program Baktisiswa anjuran bersama Kulliyyah Kejururawatan dan Kulliyyah Undang-Undang petang semalam. Buat julung kalinya, ini adalah program baktisiswa yang dianjurkan gabungan dan integrasi antara kulliyyah yang berlainan di dalam UIAM.


Jujurnya, pada mulanya ingin saya batalkan saja pemergian saya selama 3 hari 2 malam ke Kg. Cherok Paloh di dearah Kuantan ini. Saya ingin balik ke rumah atau seperti kata sahabat saya dulu; 'saya mahu masuk sebentar ke dalam kotak hitam'. Tetapi bila difikir-fikirkan, saya teringat kisah Rasulullah s.a.w dalam kembaranya menerusi langit ketika Isra' dan Mikraj. Mungkin dalam perjalanan ini juga, Allah akan menemukan saya tentang sesuatu.


Sesuatu tentang kehidupan.
Sesuatu yang membawa pengajaran dan pedoman.
Sesuatu yang menenangkan.
Sesuatu yang hanya Dia saja yang tahu.


Di bawah ini adalah gambar labah-labah hijau yang pertama saya pernah jumpa ketika berjalan kaki bersama Mak dan adik beradik lain dari rumah untuk menuju ke jalan besar. Labah-labah ini membuat sarang di pokok kepala.


Hari terakhir kami sempat bersama orang kampung memukat ikan. Nampak macam senang. Tapi bukan mudah nak dapat ikan apatah lagi bila ombak kuat bergelombang. Perlu juga teknik yang betul untuk memukat.

Alhamdulillah, keluarga angkat saya amat baik. Mereka amat penyayang. Rasa sangat-sangat dirai kehadiran kami. Terima kasih yang tidak terhingga buat Mak dan Abah di Kg. Cherok Paloh. Saya juga berasa amat gembira bersama adik beradik angkat saya. Buat Angah (Arzee), Alang (Azira) dan Ucu (Hanaa), saya amat gembira mempunyai hubungan silaturrahim ini bersama anda. Rasa macam adik beradik sendiri. Walaupun, kami berlainan jurusan, hanya Allah yang mempunyai kuasa menyatukan hati-hati. Segala puji bagi Allah.

Amat terharu bila hari kedua, bersalaman dengan Mak selepas solat, Mak menangis mendakap saya. Begitu juga pada hari terakhir apabila kami ingin berangkat kembali ke UIAM Kuantan. Mak dan Abah bersedih melihat kami pergi. Seakan kami adalah anak kandung Mak dan Abah. Biarpun kami hanya berada bersama Mak dan Abah selama 3 hari, tetapi moga kasih sayang ini disuburkan dengan redha Allah ketika bersama keluarga yang harmoni ini.


~Hanya Allah yang mempunyai kuasa menyatukan hati-hati manusia...~

Feb 4, 2010

Muhasabah Cintaku


Maaf, andai blog ini menyepi, seperti kejap ada dan tiada. Mungkin hingga beberapa hari juga blog akan menyepi kembali kerana ada hal lain yang perlu diuruskan.

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi cerpen buatan sendiri sahaja. Hanya sekadar suka-suka. Maaf, andai ada salah silap tatabahasanya. Moga kita sama-sama mendapat pengajaran.



Cerpen: Muhasabah Cintaku

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216)


Malam itu sejuk dan dingin. Sejuknya menusuk hingga ke tulang. Soleh menghabiskan waktunya lama di tikar sejadah sejurus selepas Isyak dan membaca lembaran surat-surat cinta dari Tuhan. Dalam dingin hembusan angin dari luar tingkap itu, ada lagi hembusan angin di dalam hati yang meniup beku hingga terasa sakitnya. Baginya sebaik-baik tempat pengaduan kesakitan itu hanyalah kepada Tuhannya, tiada tempat kembali yang lebih baik daripada itu.

Seusai itu, lagu nyanyian Edcoustic berkumandang dari telefon bimbitnya. Perkataan 'rumah' tertera di skrin.

"Assalamualaikum, Ummi. Ummi sihat?"

"Waalaikumsalam. Sihat. Soleh sihat? Bagaimana jawapannya?" tanya Ummi dalam nada tidak sabar.

Soleh menghela nafas panjang.

"Tak jadi, Ummi", jawab Soleh ringkas.

Diam seketika dua beranak itu. Tiada juga kedengaran suara Ummi di telefon.

"Takpe. Ummi tahu ada hikmahnya" Ummi bersuara. Sayu bunyinya.

"Ummi nangis?"

"Soleh, jangan susah hati. InsyaAllah, ada jodoh Soleh dengan yang wanita solehah yang lain" Ummi tidak menjawab pertanyaan anaknya. Namun, ternyata jelas suara sendu Ummi kedengaran di hujung talian.

Soleh menelan sebak yang menyusup ke dada.

'Maafkan Soleh jika buat Ummi bersedih. Ini saja yang Soleh terdaya.' Ayat-ayat itu sekadar menggetus di hatinya.

Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menunjukkan rasa lemahnya bila berhadapan dengan Ummi. Dia tahu Ummi juga mengharapkan dirinya juga tabah dan kuat.

Dia telah meminta orang tengah untuk menyusun agar dapat menyempurnakan syariat bersama Safiah. Tidak mahu rasanya berlama-lama tergantung begitu saja. Sudah setengah tahun meraka sama-sama menyimpan rasa. Masakan hanya perlu berdiam diri tanpa usaha. Perasaan itu harus disalurkan sebetulnya mengikut syariat yang telah ditetapkanNya.

"Ummi, jangan risau. Soleh tak ada apa-apa. Soleh yakin pada Allah. Soleh redha andai setelah ke saat ini, itu benar-benar jawapan istikharah Safiah."

Di hujung malam itu, Soleh berakhir memeluk Quran erat di dadanya.
Allahuakbar... Allahuakbar...
Ada air mata yang menitis. 'Ya Allah, ampunilah aku...' bisiknya berkali-kali.

------------------

Pagi keesokannya, seperti biasa, Soleh menyiapkan dirinya bagi meneruskan hari-hari terakhirnya di semester akhir ini.

Beg digalasnya, kakinya berentak kembali menuju ke kuliah bagi meneruskan amanat sebagai seorang pelajar Muslim. Belajar kerana Allah. Setiap hari yang dilalui juga untuk Allah. Maka, tiada apa pun yang perlu mengganggu gugat kehidupan sehariannya selagi hidupnya masih bermatlamatkan cinta dan redha Allah pada dirinya.

Kedengaran bunyi mesej masuk. Mesej dari Ummi.

'Ummi mimpi Safiah malam tadi. Lebih kurang 3 pagi. Ummi mimpi Safiah datang rumah kita. Ummi bagi buah tangan pada Safiah tapi tak jemput Safiah masuk. Ummi kesal sampai Ummi kejar Safiah balik. Tapi Ummi hanya jumpa ibu saudara dan bapa saudaranya saja,'

Soleh tersenyum kelat membaca mesej Ummi. Dirinya risaukan Ummi andai Ummi terlalu fikirkan sangat tentang Safiah. Dirinya lebih risau pada kesihatan diri Ummi. Baginya, Safiah sudah tunangan orang. Dan berdosa baginya lagi untuk menyimpan perasaan terhadap Safiah.

"Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunangnya atau jika tunang sebelumnya itu mengizinkan."
(Sahih Bukhari)

Hari berganti hari. Program dakwah dan tarbiyah berjalan baginya, disibukkan bersama-sama program-program universiti dan persatuan. Kehidupan perlu diteruskan kerana apa yang dicari adalah keredhaan Ilahi.

Soleh memberi mesej pada Ummi.

'Alhamdulillah, Soleh dah tengok gambar Mariam. InsyaAllah, orangnya ada fikrah Islam yang jelas.'

Lama Soleh menantikan balasan mesej dari Ummi. Bertanyakan pendapat tentang Mariam, kenalan rapat isteri Fuad padanya yang diperkenalkan kelmarin.

Soleh memandang langit. Moga Allah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus. Dia mengingatkan dirinya bahawa usaha itu milik manusia, namun, natijahnya adalah milik Allah Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Kuasa semata.

Semakin didaki puncak cinta dan redha Allah, semakin banyak kekuatan yang diperlukan kerana semakin banyak liku dan semakin kuat udara sejuk yang menyesakkan. Inilah muhasabah cinta Pencipta baginya.

"Patutkah mereka mengira, bahawa Kami akan membiarkan mereka berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka (dengan ujian itu) tahulah mana benar beriman, dan mana yang berdusta."
(Al-Ankabut:2-3)

Feb 3, 2010

Menggapai Redha-Nya



~Indahnya hidup jika matlamat redha dan cinta Allah itu menjadi perkara yang paling utama....~

30. Sesungguhnya orang-orang yang berkata, "Tuhan kami adalah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), "Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan.

31. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu pinta.

32. Sebagai penghormatan (bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

33. Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berkata. "Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri?)"

34. Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia seakan seperti teman setia.

35. Dan sifat-sifat yang baik itu tidak akan dianugerahkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.

(Fussilat; 41: 30-35)


Alangkah indahnya apabila dalam susah dan senang, hati kita selalu bersama Allah. Letakkan dunia itu di luar dari hati ini. Meletakkan cinta Allah yang pertama di hati, kita akan sentiasa yakin pada segala ketetapan Kekasih hakiki kita ini.

Antara tanda-tanda orang yang mencintai Allah yang dicatatkan oleh Ibnu Qayyim di dalam 'Cinta dan Rindu Kepada Allah' ialah pertamanya, redha dengan segala ketentuan Allah. Orang yang mencintai Allah ini akan sentiasa memurnikan tujuan (matlamat sebenar) nya dalam berbuat tiap sesuatu. Kerana matlamat akhir hidup yang sebenarnya adalah untuk mendapatkan cinta dan redha Allah.

Kita mahu Allah sentiasa menyayangi diri kita. Kita mahu Allah sentiasa berada di sisi kita dan melihat kita dengan pandangan kasih dan sayangnya pada kita. Kita mahu berada di sisi Allah apabila kembali menemuiNya dalam rasa cinta dan rindu kita pada Allah.

Jika benar semua itu, tentu kita tidak mahu Allah marah pada kita. Kita tidak mahu meminta sesuatu daripada Allah dengan memaksa-maksa hingga Allah mencampakkan apa yang kita minta dengan rasa marahNya.

Inilah keredhaan Allah pada kita.

"Menakjubkan sungguh urusan orang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan. Dan itu tidak terjadi kecuali kepada orang yang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya."
(H.R. Dawud dan Tirmizi)


Indahnya hidup menjadi orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Redha dengan segala ketentuan Allah kerana mahukan redha Allah untuknya. Dan juga kerana mahu Allah sentiasa bersamanya dan menaunginya dengan rasa cinta.



~Moga syurga itu juga rindu akan kita... Ameen.~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino