~Sebaik-baik Muslim itu adalah yang sentiasa memperbaiki dirinya~
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Allah yang mengurniakan hidayah dan Allah beri petunjuk pada manusia. Allah juga yang memilih siapa di antara kita yang diberikan nikmat Iman dan Islam.
Kata-kata Dr. Azizan masih saya ingati:
"Orang yang ikhlas akan istiqamah. Tetapi orang yang tidak ikhlas, Allah akan menyingkirkan dia."
Selesai Usul Isyrin, hati rasa sangat lapang. Sangat tenang. Bersyukur pada Allah kerana diberitahu dan faham apa itu 'faham'.
Banyak yang saya perlu perbaiki. Semakin banyak kita tahu dan faham, semakin kita kenal diri bahawa semakin banyak yang perlu kita tahu dan pelajari. Semakin banyak yang perlu dikoreksi.
Maka dengan rendah hati, dan dengan jiwa yang penuh kelemahan serta perlu banyak pembaikan diri, saya menuliskan nota ini.
Nota Buat Saudaraku
Saya adalah manusia biasa. Yang juga ada jatuh bangunnya. Saya teringat kisah seorang sahabat Rasulullah yang sudah hampir membunuh seorang musyrik ketika perang antara orang Islam dan orang Musyrikin. Ketika pedang yang dihunuskan hampir mengenai, musyrik itu meludah ke muka sahabat tadi. Maka, sahabat itu menarik kembali pedangnya. Kerana beliau tidak mahu membunuh kerana marahnya, dan bukan kerana Allah.
Maafkan saya saudaraku. Andai buat pertama kali saya jelas mengikut emosi diri. Nasihat yang berupa emosi jarang dipandang sebagai nasihat. Maafkan diri ini yang banyak khilafnya.
Saya sudah lama berlapang dada dengan anda. Tiada lafaz 'tiada maaf untukmu' yang pernah terbit di hati saya. Jika ada kesilapan tidak akan saya simpan ia sebagai dendam kesumat atau kebencian yang hanya menghancurkan diri. Saya sentiasa mengharapkan ada perubahan. Ada pembaikan. Biarpun pembaikan itu tidak dapat mengubah sejarah semalam dan keadaan. Anda berhak melakukan pembaikan diri. Kerana anda adalah seorang Muslim, dan setiap Muslim itu perlu bergerak ke arah yang lebih baik.
Jika kedamaian yang anda mahukan, tiada hunusan pedang dari saya untukmu saudara. Saya berlapang dada dengan anda. Saya mahu anda jadi Muslim yang terbaik dalam hidup ini. Jadi hamba yang Allah redha dalam hidup ini. Kerana itulah pengakhiran hidup yang kita cari.
Jika kita benar, Allah pasti membuktikan isi hati kita.
Maaf sekali lagi dari hamba-Nya yang kerdil ini.
Akhir kalam, semoga Allah meredhaimu dan kamu menjadi orang-orang yang dicintai-Nya.
2 comments:
Salam...Saidina Ali sahabat Rasullulah terbabit. :-)
Terima kasih... =)
Post a Comment