::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 26, 2010

Rasulullah, Dirimu Begitu Istimewa



~Malu rasanya mengatakan cinta kepada dia kekasih Allah, kerana dia insan mulia sedangkan diriku insan biasa~

Selawat dan salam atas Nabi junjungan, Muhammad s.a.w, ahli keluarganya serta para sahabat baginda.

Pagi 12 Rabiulawal Tahun Gajah, hening subuh bercahaya menerangi seluruh alam. Kelahiran seorang bayi yang dinanti-nanti. Ribuan tahun nyalaan api sembahan Majusi juga terpadam. Itulah istimewanya kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Biarpun tidak pernah melihatnya, sesiapa saja yang mengenali personalitinya, yang membaca sirahnya pasti akan terpesona dengan watak dan akhlaknya. Semua sifat-sifat mahmudah itu ada padanya. Padanya ada suri tauladan. Pada baginda itu ada qudwah hasanah untuk diteladani umat sepanjang zaman.

Jika tidak kerana pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad, serta limpahan air mata dan darah baginda serta para sahabat, tentu sekarang ini tiada nikmat Iman dan Islam yang dikecapi oleh diri ini.

Rasa malu dengan diri sendiri. Sekiranya Rasulullah masih ada di sini dan melihat umatnya begini, maka apakah perasaan baginda Nabi?

Kalimat terakhir dari mulut Rasulullah sebelum menghembus nafas terakhir adalah "Ummati, ummati, ummati..." iaitu umatku, umatku, umatku. Betapa istimewanya kita pada diri Rasulullah yang amat mencintai umatnya. Sekiranya kesakitan maut itu juga boleh digalas oleh Nabi untuk semua umatnya pun baginda masih sanggup. Hanya saja Allah yang tidak mengabulkan permintaannya.

Saya juga bertanya pada diri. Sejauh mana kita kata kita cinta pada Nabi Muhammad s.a.w dan kita benar-benar menjunjung cinta itu? Sejauh mana kita benar-benar ingin menjadi pewaris perjuangan Nabi? Sejauh mana kita benar-benar mengingati baginda dalam tiap hari yang kita lewati?

Ya Rasulullah, maafkanlah kami. Kami berasa malu terhadap diri kami setelah begitu banyak limpahan keistimewaan yang Allah beri kepada kami hanya kerana kami ini umatmu, ya Rasulullah.

Ya Nabi Allah, kami punya banyak kelemahan diri. Pohon agar kami tetap menjadi ummatmu, menghargai nikmat Iman dan Islam yang kami miliki dengan limpahan darah dan air matamu. Sesungguhnya engkau Muhammad utusan Allah, menjadi tauladan sepanjang zaman. Tiada yang dapat mengganti keistimewaanmu pada kami ya Rasulullah. Kami adalah ummatmu dan kami ingin kembali menemuimu kembali di negeri abadi. Kerana kami cinta padamu. Kerana kami rindu bertemu denganmu.

Semoga Allah melimpahkan rahmat atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat baginda.

Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
(Ali-Imran; 3:31)


~Rasulullah, kau begitu istimewa~

2 comments:

Anonymous said...

"Kita ialah umat akhir zaman yg tdk brkesempatan brtemu dgn Rasulullah. Maka, kalau kita tidak berusaha sungguh2 utk jadi benar2 soleh, maka kita tidak akan dapat brjumpa dgn baginda S.A.W. sampai bila2.."

Raudhatul Nadwah on March 1, 2010 at 6:05 PM said...

Benar, sbg hamba yg dipilih oleh Allah untuk menjd umatnya, kita perlu berusaha yg terbaik supaya dapat berjumpa dgn baginda. Kerana baginda juga rindu kita, dan jika kita benar2 merinduinya, kita harus benar-benar berusaha menemuinya.

Terima kasih anonymous.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino