::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 15, 2010

Cuti-cuti Pertengahan Semester



~Detik masa yang berlalu tidak akan kembali.~

Hari ini sudah hari ketiga kami pelajar-pelajar kulliyyah kejururawatan bercuti pertengahan semester sementara pelajar-pelajar kulliyyah lain sudah kembali dari musim percutian. Bermakna hari ini sudah hari ketiga saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Cuti seminggu yang sebentar ini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Namun, masih belum dibuat lagi jadual harian saya sepanjang minggu ini. Hanya perancangan di minda saya, belum tertulis di atas kertas. (Em, sesuatu perlu dilakukan.)

Hari ini dan semalam ketika di waktu petang, saya, Ma dan Abah meluangkan masa di Taman Botani, Putrajaya setelah menjemput Ma pulang dari pejabatnya di Lembaga Peperiksaan. Kami berjalan kaki di sekitar kawasan Taman Botani sambil menghirup udara segar. Berpeluh juga rasanya turun naik bukit di Taman Botani ni. Tertunai juga hak fizikal tubuh badan di musim cuti begini.

Ma kelihatan penat balik dari pejabat. Berehat sebentar.


Masih berbaki tujuh hari lagi cuti saya. InsyaAllah, hari Sabtu dan Ahad ini akan terisi sepenuhnya. Kemudian, balik saja ke kampus ada satu lagi kertas peperiksaan menanti; Health Management and Hospital Administration.

Demi Masa

Ya, saya harus manfaatkan masa ini sepenuhnya. Menyenaraikan perkara-perkara yang perlu saya lakukan setiap hari agar tiada tugasan yang keciciran. Agar hak pada jiwa dan hati juga terjaga dan tidak terisi dengan perkara-perkara yang tiada manfaatnya.

Masa yang ada juga harus dimanfaatkan untuk penambahbaikan diri. Teringat perkongsian sahabat dan murabbi saya, bahawa tasik hati ini perlu sentiasa dijaga. Harus memilih bahan-bahan yang ada untuk dimanfaatkan. Jika tidak, dari sekecil-kecil perkara boleh memberi kesan kepada jernih atau keruhnya tasik hati.

Hati bukan saja perlu dijaga untuk manfaat diri sendiri. Bahkan apabila memandang ke hadapan, saya juga perlu jaga kandungan hati dan jiwa saya untuk anak-anak pewaris nanti. Saya juga mengingatkan diri ini bahawa tarbiyah (pendidikan) anak-anak sepatutnya sudah pun bermula sekarang. Tidak perlu tunggu bila ruh sudah ditiup ke alam rahim atau tunggu bila sudah ada calon untuk dinikahi.

Wahai diri, jika sekarang pun dirimu payah ditarbiyah, bagaimana ingin mentarbiyah anak-anak pula nanti?

Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
(Al-'Asr; 103:1-3)



~Mari sama-sama memperbaiki diri...~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino