::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 14, 2010

Kerana Dia Menyayangimu



~Dia sentiasa bersamamu kerana Dia menyayangimu...~

Selagi kita masih bernyawa dan diberi nafas oleh Allah di atas muka bumi ini, selagi itulah Allah akan menguji hamba-hambaNya. Ia boleh berupa ujian-ujian kecil mahupun besar.

Ujian-ujian yang Allah beri adalah sesuai dengan kemampuan setiap hamba.

"Allah tidaklah membebani seorang hamba itu melainkan sesuai dengan kemampuannya..."
(Al-Baqarah; 2:286)


Seringkali, kita tidak mampu untuk mengubah keadaan dan situasi. Namun, kita boleh mengubah persepsi terhadap apa yang kita hadapi. Pilihlah untuk menjadi optimis atau pesimis. Pilihlah untuk bersangka baik dengan Allah ataupun sebaliknya.

Di sinilah bermulanya perubahan terhadap diri kita sendiri. Perubahan terhadap cara pandang, yang perlu dimulakan dari hati. Berubah untuk menjadi manusia yang sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Jika kita rasa hidup kita sudah tiada makna, maka apakah Allah ciptakan kita hidup di atas muka bumi ini sia-sia? Apakah segala nikmat yang Allah beri kepada kita selama ini, tiada timbal balik yang harus kita kembalikan kepada Allah walau hanya sekadar untuk patuh dan taat pada perintahNya?

Fikir-fikirkanlah.

Saya teringat perumpamaan ringkas yang diberi oleh Ustaz Pahrol Juoi ketika kunjungan beliau ke UIAM Kuantan.

Diumpamakan manusia berada di bahagian bawah, berhampiran sebuah bangunan. Apabila orang yang berada di tempat tinggi memberi makanan kepada orang di bahagian bawah, manusia yang menerima makanan sering lupa untuk berterima kasih kepada yang memberi. Sebaliknya sibuk mengambil makanan yang diberi. Sehingga satu tahap orang memberi dari atas terpaksa melempar batu ke bawah supaya yang di bawah terngadah ke atas. Supaya manusia yang menerima, mengingati Dia Yang Maha Pemberi kepada hamba-hambaNya.

Perlu ingat bahawa Allah amat sayangkan hamba-hambaNya melebihi sayang diri kita pada diri sendiri. Dia mahu kita selalu mengingatiNya melebihi dunia dan seisinya ini.

"Wahai Musa, tidaklah aku menciptakan suatu makhluk yang lebih Aku sukai daripada hambaKu yang beriman. Aku mengujinya untuk kebaikannnya dan menghilangkan ujian daripadanya untuk kebaikannya. Aku mengetahui apa yang baik bagi hambaKu. Maka bersabarlah atas ujianKu. Bersyukurlah atas rahmatKu, dan redhalah atas qadha' ketentuanKu. Aku menuliskannya dalam golongan orang-orang yang benar di sisiKu, apabila dia bekerja dengan redhaKu dan mentaati perintahKu."



~Ketenangan dan kebahagiaan itu datang dari hati. Hati yang sentiasa kaya dengan nikmat Iman dan Islam yang ada padanya.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino