Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi cerpen buatan sendiri sahaja. Hanya sekadar suka-suka. Maaf, andai ada salah silap tatabahasanya. Moga kita sama-sama mendapat pengajaran.
Cerpen: Muhasabah Cintaku
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."(Al-Baqarah: 216)
Malam itu sejuk dan dingin. Sejuknya menusuk hingga ke tulang. Soleh menghabiskan waktunya lama di tikar sejadah sejurus selepas Isyak dan membaca lembaran surat-surat cinta dari Tuhan. Dalam dingin hembusan angin dari luar tingkap itu, ada lagi hembusan angin di dalam hati yang meniup beku hingga terasa sakitnya. Baginya sebaik-baik tempat pengaduan kesakitan itu hanyalah kepada Tuhannya, tiada tempat kembali yang lebih baik daripada itu.
Seusai itu, lagu nyanyian Edcoustic berkumandang dari telefon bimbitnya. Perkataan 'rumah' tertera di skrin.
"Assalamualaikum, Ummi. Ummi sihat?"
"Waalaikumsalam. Sihat. Soleh sihat? Bagaimana jawapannya?" tanya Ummi dalam nada tidak sabar.
Soleh menghela nafas panjang.
"Tak jadi, Ummi", jawab Soleh ringkas.
Diam seketika dua beranak itu. Tiada juga kedengaran suara Ummi di telefon.
"Takpe. Ummi tahu ada hikmahnya" Ummi bersuara. Sayu bunyinya.
"Ummi nangis?"
"Soleh, jangan susah hati. InsyaAllah, ada jodoh Soleh dengan yang wanita solehah yang lain" Ummi tidak menjawab pertanyaan anaknya. Namun, ternyata jelas suara sendu Ummi kedengaran di hujung talian.
Soleh menelan sebak yang menyusup ke dada.
'Maafkan Soleh jika buat Ummi bersedih. Ini saja yang Soleh terdaya.' Ayat-ayat itu sekadar menggetus di hatinya.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menunjukkan rasa lemahnya bila berhadapan dengan Ummi. Dia tahu Ummi juga mengharapkan dirinya juga tabah dan kuat.
Dia telah meminta orang tengah untuk menyusun agar dapat menyempurnakan syariat bersama Safiah. Tidak mahu rasanya berlama-lama tergantung begitu saja. Sudah setengah tahun meraka sama-sama menyimpan rasa. Masakan hanya perlu berdiam diri tanpa usaha. Perasaan itu harus disalurkan sebetulnya mengikut syariat yang telah ditetapkanNya.
"Ummi, jangan risau. Soleh tak ada apa-apa. Soleh yakin pada Allah. Soleh redha andai setelah ke saat ini, itu benar-benar jawapan istikharah Safiah."
Di hujung malam itu, Soleh berakhir memeluk Quran erat di dadanya.
Allahuakbar... Allahuakbar...
Ada air mata yang menitis. 'Ya Allah, ampunilah aku...' bisiknya berkali-kali.
------------------
Pagi keesokannya, seperti biasa, Soleh menyiapkan dirinya bagi meneruskan hari-hari terakhirnya di semester akhir ini.Beg digalasnya, kakinya berentak kembali menuju ke kuliah bagi meneruskan amanat sebagai seorang pelajar Muslim. Belajar kerana Allah. Setiap hari yang dilalui juga untuk Allah. Maka, tiada apa pun yang perlu mengganggu gugat kehidupan sehariannya selagi hidupnya masih bermatlamatkan cinta dan redha Allah pada dirinya.
Kedengaran bunyi mesej masuk. Mesej dari Ummi.
'Ummi mimpi Safiah malam tadi. Lebih kurang 3 pagi. Ummi mimpi Safiah datang rumah kita. Ummi bagi buah tangan pada Safiah tapi tak jemput Safiah masuk. Ummi kesal sampai Ummi kejar Safiah balik. Tapi Ummi hanya jumpa ibu saudara dan bapa saudaranya saja,'
Soleh tersenyum kelat membaca mesej Ummi. Dirinya risaukan Ummi andai Ummi terlalu fikirkan sangat tentang Safiah. Dirinya lebih risau pada kesihatan diri Ummi. Baginya, Safiah sudah tunangan orang. Dan berdosa baginya lagi untuk menyimpan perasaan terhadap Safiah.
"Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunangnya atau jika tunang sebelumnya itu mengizinkan."(Sahih Bukhari)
Hari berganti hari. Program dakwah dan tarbiyah berjalan baginya, disibukkan bersama-sama program-program universiti dan persatuan. Kehidupan perlu diteruskan kerana apa yang dicari adalah keredhaan Ilahi.
Soleh memberi mesej pada Ummi.
'Alhamdulillah, Soleh dah tengok gambar Mariam. InsyaAllah, orangnya ada fikrah Islam yang jelas.'
Lama Soleh menantikan balasan mesej dari Ummi. Bertanyakan pendapat tentang Mariam, kenalan rapat isteri Fuad padanya yang diperkenalkan kelmarin.
Soleh memandang langit. Moga Allah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus. Dia mengingatkan dirinya bahawa usaha itu milik manusia, namun, natijahnya adalah milik Allah Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Kuasa semata.
Semakin didaki puncak cinta dan redha Allah, semakin banyak kekuatan yang diperlukan kerana semakin banyak liku dan semakin kuat udara sejuk yang menyesakkan. Inilah muhasabah cinta Pencipta baginya.
"Patutkah mereka mengira, bahawa Kami akan membiarkan mereka berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka (dengan ujian itu) tahulah mana benar beriman, dan mana yang berdusta."(Al-Ankabut:2-3)
0 comments:
Post a Comment