Beberapa hari lalu saya menelefon ke kampung, menanyakan khabar nenek tercinta. Selesai menelefon, rasa rindu yang teramat untuk berpuasa Ramadhan di kampung seperti di waktu zaman kecil dulu.
Sejak kecil lagi, saya suka bila tibanya Ramadhan. Rasa meriah menyelubungi kampung halaman dan juga sewaktu di zaman persekolahan.
Apabila Ramadhan sudah mula menampakkan tirainya, saya akan bertanya pada nenek akan bila kami akan bergotong-royong mengemas dan membersih surau untuk bertarawikh bersama ketika Ramadhan nanti. Surau di tepi sungai itu sudah lama. Berdirinya di situ semenjak saya masih sangat kecil lagi. Entah bila dibina saya pun tidak tahu. Yang saya tahu, saya sudah dibesarkan dengan kehadiran surau itu yang hanya berjarak 200m dari rumah.
Apabila tiba waktu bergotong-royong, rakan-rakan kecil saya juga akan turun padang membantu jiran-jiran yang bertandang. Rasa seronok bagi kanak-kanak kecil seperti kami; mengelap cermin tingkap, membantu mengangkat 'carpet' surau, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya. Kehadiran Ramadhan bagi kami ketika itu benar-benar terasa.
Tidak banyak kenangan berpuasa saya ketika di sekolah. Hanya yang saya ingati setiap kali di sekolah, guru-guru akan bertanya kepada kami tentang siapakah yang berpuasa pada hari itu.
Adakalanya di bulan Ramadhan itu demi menyelesaikan urusan-urusan tertentu, nenek dan saya akan ke bandar menaiki bas dari pekan kecil yang jauhnya 4 km dari rumah kecil kami. Dari pekan ke bandar mengambil masa 15 minit. Setiap kali kami berjalan jauh di sekitar bandar untuk membayar bil elektrik, air, atau ke bank, nenek akan bertanya kepada saya adakah saya mahu berbuka puasa atau tidak kerana melihatkan cucunya ini sudah nampak keletihan.
Saya juga masih rindu untuk bersolat terawikh di kampung seperti waktu kecil dahulu. Rindu untuk bersahur dan berbuka puasa dengan nenek. Rindukan waktu bergotong-royong bersama-sama seperti dulu. Namun, surau lama di tepi sungai itu sudah tidak digunakan lagi. Semakin usang namun masih menyimpan seribu kenangan.
0 comments:
Post a Comment