30 Julai 2009
Kelas Dr. Laith yang sepatutnya bermula sesi petang dibatalkan secara tiba-tiba. Kelas untuk esok harinya juga dibatalkan. Dengar kata ekoran ramai daripada nursing students yang demam secara beramai-ramai adalah antara punca bahawa pihak kuliyyah meminta kami untuk terus balik berehat di bilik dan berkuarantin. Ketua kelas yang selalu menjadi 'mangsa buli' oleh pelajar-pelajar perempuan ni pun tak hadir akibat demam hari ini. Rasa bersalah dan tak sedap hati terbit di hati.
Pada petangnya ada rasa loya dan pening-pening dirasa. Yang pastinya ia bukan simptom 'morning sickness'. Hidayah, sahabatku sudah terlantar kelesuan di katil. Suhu badannya tinggi. Panas sangat, berhaba satu bilik. Ingatkan nak bawa saja ke Emergency Department. Namun, akibat masalah pengangkutan, kami menunggu hingga ke malam. Alhamdulillah, demamnya makin reda.
31 Julai 2009
Rakan-rakan sekelas yang juga merangkap jiran-jiran sebelah menyebelah bilik ramai yang pulang ke rumah masing-masing. Cuti selama empat hari itu dimanfaatkan sebaiknya. Badan ini juga makin panas. Rasanya terpaksa saja menolak pelawaan sahabat dari kulliyyah lain untuk menyertai team futsal ke tournament di UIAM Gombak petang itu mahupun membatalkan penyertaan ke ESQ hujung minggu ini andai penyakit yang tidak diketahui berjangkit atau tidak ini semakin menaikkan suhu badan.
Petangnya, saya menelefon Mak yang sudah pulang dari pejabat. Sekadar mahu bertanya adakah saya perlu balik di hujung minggu ini. Takut-takut jika Mak dan Abah ada program lain. Mak kata akan menjemput balik ke rumah esok kerana anaknya ini sudah demam, sakit tekak, sakit badan dan pening-pening. Ya, tidak lama kemudian, Mak menghantar khidmat pesanan ringkas, akan menjemput saya malam itu juga. Ya Allah, kasihan sangat pada Mak dan Abah yang menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menjemput anaknya yang banyak karenah ini.
1 Ogos 2009
Kami tiba di rumah pada pukul 3 pagi. Kasihan Abah sebab penat memandu lama. Pagi itu, selesai sarapan, terus ke hospital berdekatan. Ya Allah, ramainya orang di hospital. Rasanya ramai ada simptom yang sama. Setelah diperiksa, blood pressure : 142/88 mmHg, heart rate: 112 beats/min dan suhu: 39.7'C. Alhamdulillah, hanya viral fever. Dapatlah mengurangkan kerisauan di hati Mak dan Abah. Namun, sewaktu sedang menunggu di kerusi ruang kecemasan, seperti kelihatan si pemilik 'kapal kertas' yang pernah benar-benar menguji hati selang beberapa baris di belakang kerusi. Anggapkan saja ia seperti angin lalu, ya, seperti hanya serpihan memori di ingatan.
2 Ogos 2009
Alhamdulillah, hari-hari yang dilalui semakin Allah kurniakan nikmat kesihatan kembali kepada diri.
Pembungkus
Entri kali ini sedikit panjang. Hanya memetik kronologi ataupun rentetan peristiwa 'suspected H1N1' ini sebagai satu suri tauladan yang mendidik hati. Rentetan peristiwa di sebalik hari-hari yang saya lalui kali ini terasa sarat dengan hikmah buat diri.
Saya melihat bagaimana pengorbanan dan huluran kasih sayang ibu bapa yang tidak pernah kenal penat lelah dan susah payah demi anaknya. Begitu juga pada jagaan sahabat-sahabat yang sentiasa mengambil berat biarpun di kala suka mahupun duka. Ana uhibbu antum fillah, terima kasih atas segalanya. Pun begitu jua pada pertemuan yang disuratkanNya tempoh hari, saya anggap ia juga hikmah. Hikmah bagi menguji ketahanan dan keampuhan benteng pendirian hati yang dibina di atas teras kekuatan iman dan taqwa.
Alhamdulillah, kesakitan yang diberi ini mendidik hati dan naluri insani untuk lebih menghargai kasih sayang ibu dan ayah dan belajar untuk meneladani insan-insan yang terbaik ini. Ia juga mendidik hati untuk lebih telus dan suci dalam melihat alam dan kejadian yang telah ditentukan. Kesakitan ini mendidik hati untuk terus bermujahadah, menggagahkan diri untuk berbicara dengan Allah, menghargai nikmat-nikmat kesihatan yang diberikan Tuhan dan menjadi hamba yang senantiasa bersyukur pada Pencipta.
Terima kasih atas peringatan buat hambaMu ini, Ya Rabbi...
Terima kasih semua... ~
0 comments:
Post a Comment