::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 14, 2009

Ramadhan Terakhir?


~Kematian bila-bila masa berlaku, kita tunggulah kematian dari nafas ke nafas, agar kita tidak ada angan-angan yang melalaikan, hendak membangun membangunlah, tapi ingatlah waktu itu boleh mati, hendak maju majulah, tapi kematian boleh berlaku pada waktu itu, hendak kejar kekayaan kejarlah, tidaklah salah selagi halal, tapi ingatlah mati, ingatlah mati di dalam sebarang hal, agar kita tidak lalai, jiwa sentiasa takut dan gentar dengan Tuhan, bila jiwa takut dengan Tuhan kita takut hendak membuat dosa dalam sebarang hal. ~
("Kenapa Allah Murka"- Muhammad Qayyum A. Badaruddin)



Hari itu sudah masuk Ramadhan ketiga. Biasanya selepas kelas sesi pagi, para pelajar akan ke gerai-gerai berdekatan untuk 'brunch'. Mengisi perut untuk kelas tengahhari nanti. Namun, rutinnya berubah bila tiba bulan puasa.

Ramai antara mereka menghabiskan waktu yang tersisa di perpustakaan. Membaca suratkhabar yang diletakkan di sudut bacaan untuk hari itu.

Haidan menyelak akhbar di tangannya. Sekadar 'scanning' dan hanya singgah lama di berita-berita penting di laman akhbar. Dia terpana di satu tajuk segmen akhbar di bahagian perkongsian agama; tajuknya: "Pengalaman Koma". Dia tertegun sebentar. Membaca setiap huruf yang termaktub hingga ke hujungnya.

"Ajaibnya pengalaman orang yang koma ni ye. Menginsafkan!", monolognya sendiri. Rakan-rakan disebelahnya hanya mendengar. Tidak ambil pusing kerana masing-masing juga tekun membaca akhbar.

"Eh, teringin pulak nak rasa koma sekejap." tambah Haidan lagi. Ucapan itu terluncur begitu sahaja dari mulutnya. Mungkin dek kerana terlalu kagum dengan cerita yang dibaca.

"Astaghfirullah! Tak eloklah cakap macam tu." Seorang rakan yang menangkap percakapannya segera menegur.

"Eh, tak boleh ke? Sekejap je tapi menginsafkan." Wajah Haidan sedikit keliru.

"Eh, mintak jauh." rakan yang seorang lagi menambah.

Haidan hanya membisu. Dalm hatinya masih lagi mengagumi keajaiban yang Tuhan berikan pada insan-insan yang terpilih ini. Tentunya ia memberi kesan yang mendalam pada iman, fikirnya sendiri.

Masuk Maghrib Khamis itu, 5 Ramadhan menjelang. Assignment yang sekian banyaknya perlu dihabiskan selesai solat berjemaah tarawikh di masjid dilaksanakan.

Haidan meninggalkan dahulu kerja yang masih tidak dapat disiapkannya di atas meja belajar. InsyaAllah, masih ada esok untuk meneruskan sisa kerja yang tinggal. Lagipun, selesai kelas Jumaat esok hari, dia akan balik ke rumah. Berjumpa dengan ibu ayah. Haidan dah berjanji dengan ibu dan ayahnya untuk sama-sama berbuka puasa dan bertarawikh bersama pada minggu pertama Ramadhan kali ini.

Sebelum melelapkan mata, dia mengambil wuduk. Mengerjakan solat sunat.

Seketika kemudian setelah terlena, dia melihat dirinya berada di suatu tempat. Di sebuah bilik yang luas. Dia melihat juga melihat rakan-rakannya. Semuanya tidur kelenaan.

Kemudian, dia melihat ada tetamu yang berkunjung di pintu. Tetamu yang tidak diundang itu wajahnya sedikit luka. Namun, masih menghulurkan senyum manisnya. Haidan dan tetamu itu berjabat salam.

Seketika kemudian, dia melihat dirinya di sebuah tempat yang lain. Mungkin di sebuah bangunan. Gelap. Dia merasakan kepalanya diketuk kuat. Haidan melarikan diri. Menuju ke tangga. Dadanya merasa penat dan lelah.

"Allah, mana nak pergi ni?"

Dia melihat pintu-pintu yang sangat banyak di tingkat atas. Namun, dia terlalu takut untuk berhati-hati. Seolah-olah ada sesuatu yang mengejar. Dia perlu pantas membuat keputusan. Dia terus meluru ke sebuah pintu. Dikuaknya pintu itu dan terus merasakan dirinya jatuh dari tempat tinggi.

"Allah!"

Haidan tersedar. Dia melihat siling di atas kepalanya. Namun, satu perasaan aneh datang. Seolah-olah dia tidak melihat dengan matanya. Ya, dia tidak merasakan kelopak matanya berkelip. Dia seakan-akan tidak melihat dengan anggota badannya. Adakah dia hanya melihat dengan rohnya sahaja? Pandangan itu tidak seterang dengan pandangan anak mata.

"Ya Allah, aku dah mati ke? Allah, hari ni Jumaat. Allah, aku dilahirkan bulan ini. Adakah aku juga dipanggil kembali bulan Ramadhan ni? "
Dia teringat pada kata-kata ibunya. Ya, dia dilahirkan pada bulan Ramadhan. Adakah dia akan pergi berdekatan waktu dia datang ke dunia ini? Adakah ini Ramadhan terakhir buatnya?

"Ya Allah, baru hari ni aku nak balik rumah untuk jumpa mak ayah. Allah, adakah jasad aku saja yang akan sampai pada mereka pada hari ni?"
Haidan teringat janji pada ibu bapanya. Bagaimana kalau hari esok hanya jasadnya saja diusung balik ke rumah. Haidan masih ingin sekali lagi peluk dan cium orang tua kesayangannya.

"Allah, aku masih belum mintak maaf pada semua orang. Aku tak tahu sama ada aku ada menyakitkan hati mereka atau tidak?"
Teringat pada sahabat-sahabatnya. Dia gemar mengusik dan menyakat. Adakah mereka pernah terasa hati dengannya?

"Ya Allah, ampunilah aku. Kembalikanlah aku ke dunia sekali lagi, ya Allah."

Hatinya menangis tapi tanpa air mata. Kerana dia bukan lagi di jasadnya.

Beberapa ketika kemudian, dia merasakan pandangannya mula terang. Kelopak matanya dapat dibuka.

"Terima kasih ya Allah, syukur padaMu..."

Haidan bangun dari pembaringannya. Kakinya terasa kebas hingga ke paras pinggang. Hujung kakinya terasa sejuk.

"Ya Allah, apakah benar perasaan ku tadi bahawa engkau sudah hendak memanggilku?"
Dia segera bersujud. Sujud syukur atas kurniaan Allah padanya. Juga atas kesalahan yang telah dia perbuat. Dia merintih sedih. Terasa amat dunia ini terlalu kecil nilainya. Hanya amal kebajikan menjadi segala-galanya untuk menjadi bekal menghadap kembali dia pada Pencipta.

Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan pada hari kiamat)."
(Al-A'raff; 7:25)

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino