::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 12, 2009

Komunikasi Dari Hati


~Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang cantik budi pekerti...~


Sejak dari Tahun 1 hingga Tahun 4, rasanya dah banyak belajar tentang subjek komunikasi. Teori. Namun, praktikal dan amalinya komunikasi dilakukan setiap hari. Sejak dari dalam kandungan ibu hingga sekarang.

Banyak teori dikeluarkan oleh ramai orang tentang komunikasi. Namun, sedar tak sedar komunikasi itu sama ada berkesan atau tidak harus bermula dari hati. Tanpa adanya kehadiran atau kesediaan hati untuk berkomunikasi, maka pastinya komunikasi yang diberi kurang memberi kesan mendalam.

Masih teringat sewaktu Tahun 3 dulu ketika melawat rumah warga emas di Triang, Pahang. Penghuninya terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Selesai 'briefing' kami diberi kebenaran untuk berinteraksi dengan warga rumah. Saya dan seorang kawan menghampiri seorang wanita berpangkat nenek barbangsa Cina. Dengan ilmu tentang bahasa cina yang terhad, saya memulakan sapaan.

"Popo, ni hau ma?"

Nenek itu beralih kepada saya. Dia menjawab dengan nada sedih. Kemudian, menyambung lagi dengan menggunakan bahasa Cina yang tidak saya fahami. Rupanya dia mula bercerita. Ceritanya menggambarkan kesedihan seolah-olah menceritakan peristiwa malang yang menimpa diri. Saya hanya mampu menggunakan 'therapeutic touch' bagi memujuknya. Tidak dinafikan ceritanya itu , biarpun disempadani oleh bahasa, ianya amat menyentuh hati. Berdekatan kami ketika itu, ada seorang kakitangan rumah tersebut yang juga 'tourist guide' kami tadi. Lelaki berbangsa Cina itu menghampiri.

Dia kemudiannya memujuk nenek itu tadi. Kemudian, katanya pada kami;

"Nenek ini baru masuk sini 2 minggu. Anaknya halau dia keluar dari rumah."

Kemudian, nenek itu berbicara lagi. Cuba menyampaikan sesuatu. Saya dan kawan yang berdiri mula duduk di sebelahnya. Sambil bercerita, dia menangis. Rasanya waktu itu, kami turut ingin menangis bersama-sama.

Mesej yang disampaikan mungkin melalui susunan kata yang berbeza. Namun, dengan kesediaan dan kehadiran hati dalam komunikasi dua hala, susunan kata itu dapat diterjemahkan dalam 'binary code' bahasa hati.

Dengarlah dengan hati dan sampaikan dengan hati. Bila berbicara dengan Tuhan juga harus dengan hati. Kerana hanya dengan hadirnya raja hati, bahasa itu lebih mudah diterjemah dan dicerna menteri akal fikiran serta rakyat anggota tubuh lebih mudah dikerah untuk tindakan susulan.

Biarpun tanpa lisan, pandangan, mahupun salah satu means of communication, bahasa hati yang mempunyai 'binary code' yang sama itu pasti mengerti.

"Tempat bagi khusyuk ialah di hati, dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan."
-Imam Hasan Al-Basri-

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino