::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 6, 2009

Kisah Abul Ash dan Diriku


~“Yaa muqollibalquluub tsabbit qolbiy alaa diinika” Wahai Dzat yang membolak-balik hati, kukuhkan hatiku tetap berada di atas agamamu.~


Kenalkah anda dengan Abul Ash? Seorang lelaki yang berbudi pekerti mulia.

Beliau adalah menantu sulung pertama Rasulullah s.a.w dan srikandi Khadijah. Suami tercinta buat Zainab, puteri sulung baginda.

Saya menelusuri 'Kisah Cinta Sejati Khadijah' dan menemukan kisah Abul Ash di dalam buku ini. Abul Ash dikatakan oleh Ibnu Ishaq sebagai seorang pemuda yang kaya, jujur serta berjaya dalam berdagang. Dikenali juga sebagai seorang yang amanah dalam berdagang. Anak saudara Khadijah ini juga disukai oleh ibu saudaranya kerana sifat-sifatnya yang mulia.


Sewaktu mula dakwah Nabi secara terang-terangan di Mekah, orang kafir Quraisy diketuai Abu Jahal merancang untuk mengacau-bilaukan dakwah baginda dan meminta suami-suami kepada puteri-puteri baginda menceraikan isterinya. Dengan harapan bahawa Rasulullah akan mengalihkan tumpuannya daripada dakwah kepada hal anak-anaknya.

~Kisah Cinta Sejati Khadijah yang menyentuh hati~
Maka, orang-orang kafir Quraisy berjumpa Abul Ash. Mereka menjanjikan beliau dengan wanita Quraisy yang lain untuk dikahwininya. Namun, kerana cintanya pada Zainab dan sanjung hormatnya pada Rasulullah dan Khadijah biarpun berlainan aqidah, Abul Ash menolak pelawaan kaum kafir Quraisy. Maka, pergilah mereka dengan hampa.

Walaupun, pada waktu itu, Abul Ash belum lagi beriman kepada Allah dan Rasulnya, pendirian tegas Abul Ash dipuji oleh Rasulullah.

Namun, Abul Ash memeluk Islam di belakangan kerana bertegas untuk duduk dalam gelap jahiliyah. Beliau masih berada di pihak kafir sehingga berlakunya Perang Badar dan ditawan oleh tentera Islam. Namun, setelah melihat kebaikan bapa mentuanya sendiri kepada beliau dan tawanan yang lain, maka hatinya dibuka oleh Tuhan Pemilik Hati untuk menerima Islam.


Maka, apakah kaitannya pemuda bernama Abul Ash ini dengan diri saya?

Apabila saya membaca kisah Abul Ash, ia mengingatkan tentang diri sendiri ketika sekolah menengah dahulu. Sekitar tingkatan tiga. Di kala hati masih lesu dengan iman dan berlalangkan jahiliyyah.

Teringat ketika temuduga pemimpin pelajar yang terpaksa saya hadiri kerana nama-nama 'short listed' oleh guru-guru.

"Saya memang tak nak jadi." ujar seorang pelajar perempuan angkuh di hadapan anggota-anggota Majlis Tertinggi Pemimpin Pelajar (MT) yang seramai 6 orang itu; 3 putera dan 3 puteri. Semuanya adalah orang-orang yang saya kagumi bakat kepimpinan mereka.

"Kawan baik awak juga seorang 'prefect'kan? Apa salahnya kalau awak pun jadi pemimpin pelajar?" salah seorang abang MT bertanya.

"Rambut sama hitam, hati lain-lain." jawab pelajar perempuan itu lagi.

Setelah penat bersoal jawab, salah seorang anggota lelaki MT bertanya, "Macam nilah, andaikan sekarang ni awak sebenarnya dah lulus pun temuduga ni, tinggal nak pakai baju pemimpin pelajar saja. Adakah awak terima?"

"Tidak." Jawapan ringkas tapi agak berbisa.

Kakak-kakak anggota MT hanya mendiamkan diri sepanjang proses temuduga. Bukan kerana tidak pandai berkata-kata, namun, terkejut dengan jawapan yang diberikan adik junior yang agak baik dengan mereka.

Ya, itulah saya. Tegas seperti Abul Ash. Namun, tegas dengan pendirian saya yang tidak bertempat. Minda yang tidak dicernakan dan ditarbiyah dengan iman tidak mampu berfikir jauh ke hadapan. Jawapan yang diberikan hanya mengikut kata hati yang sakit, yang hilang pertimbangan terhadap keperluan insan dan ihsan .

Namun, akhirnya semua adalah ketentuan Tuhan. Dia Perancang Yang Maha Baik. Sebaik manapun perancangan manusia, pasti akan kalah dengan perancangan Pencipta. Saya akhirnya dilantik dalam keadaaan terpaksa. Dengan kuasa dan takdirNya, saya diletakkan sebilik di asrama bersama kakak-kakak anggota Majlis Tertinggi BADAR dan Kepimpinan Pelajar. Di situlah saya mula bertatih belajar menjadi hamba. Bukan hamba kepada dunia dan seisinya tetapi hamba kepada Pencipta.

Terima kasih buat Frau Farah Juita dan sahabat-sahabat yang sentiasa berada di sisi.

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan olehNya untuk merasai nikmat iman dan islam dalam kehidupan. Hati yang berlalang jahiliyyah kini mula menumbuhkan rimbunan pohon iman dan taqwa, disuburi mata air cinta kepadaNya.


Sungguh, Dialah Pemilik segala hati di dunia ini...

Teringat kata-kata ibu bahawa anaknya ini punya ketegasan seperti tegasnya seorang lelaki.
Semoga ketegasan ini hanyalah untuk kebaikan dan hanya kerana-Nya.


~Usahlah berputus asa mengajak orang lain pada kebaikan. Kerana kita tidak tahu bila titiknya petunjuk Allah itu tiba dalam setiap ajakan kita kepadanya...~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino