"Di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."(Ar-Rum; 30:21)
Setelah membeli buku Kisah Cinta Sejati Khadijah lewat semester lalu, akhirnya baru dapat membacanya bila masuk ke semester ini. Alhamdulillah, sudah dihabiskan dan semoga ia dicernakan dalam ingatan serta terkesan di hati dan iman.
Membaca sirah tentang Khadijah binti Khuwailid Ibnu Asad melahirkan rasa cinta untuk mencontohinya. Mencontohi pengorbanan dan ketabahan seorang wanita pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Semoga diriku dan sahabat-sahabat juga berusaha menjadi sepertinya.
Khadijah merupakan wanita yang dihormati dan punya perdagangan sendiri memilih Muhammad bin Abdullah sebagai suami kerana kecantikan akhlak dan budi pekerti dan bukan atas dasar harta mahupun keturunan bangsawan.
Khadijah menjadi pendamai rumah tangga Rasulullah. Menjadi isteri penyejuk mata dan pententeram jiwa. Tatkala Rasulullah gementar ketakutan setelah menerima wahyu pertama di Gua Hira', Khadijahlah orang yang sedaya upaya mententeramkannya. Cuba menghilangkan ketakutan dan resah gelisah suami yang tercinta.
Khadijah, seorang isteri yang menghormati keputusan Rasulullah. Biarpun usia baginda lebih muda dari Khadijah, tidak ada halangan bagi Khadijah untuk mentaati dan menghormati keputusan suami. Khadijah tidak memandang remeh setiap keputusan yang dibuat oleh Rasulullah kerana kepercayaan yang telah dibina untuk nakhoda bahtera rumah tangganya.
Sebelum wahyu diturunkan, 2 puteri Khadijah, Ruqayyah dan Ummu Kulthum dipinang oleh Abu Lahab untuk puteranya, Utbah dan Utaibah. Biarpun kedua mereka dikenali dengan budi pekerti mulia, Khadijah masih ragu-ragu dan curiga atas rombongan peminangan disebabkan oleh sifat Ummu Jamil, isteri Abu Lahab yang kurang disenangi. Namun, Khadijah tidak menyuarakan kebimbangannya pada Rasulullah. Dia mengimbangi pertimbangan emosi diri, menyerahkan keputusan kepada suami dan yakin kepada Tuhan yang Melindungi.
Khadijah, seorang ibu yang berjaya mendidik anak-anaknya untuk menjadi insan berguna, taat pada ibu bapa dan agama. Rumah tangga Khadijah dan Rasulullah benar-benar berkemudi bahagia.
Tika dakwah Rasulullah semakin mendapat tentangan, Khadijah tetap sedia menemani. Memberi kata-kata semangat kepada suami. Khadijah yang terkenal dengan sifat pemurah, mengorbankan hartanya untuk Islam, membantu dakwah suaminya agar umat manusia kembali kepada mengesakan Allah dan kesejahteraan alam.
Diri ini sendiri sangat mengaguminya. Mengagumi pengorbanan, keyakinan, penghormatan yang diberikan kepada suami serta sifat-sifat mulia yang dimilikinya. Khadijah, seorang wanita mulia dimana Allah juga membangunkan sebuah rumah yang indah untuknya di syurga.
Khadijah, contoh ikutan isteri solehah. Isteri yang paling dicintai Nabi Muhammad s.a.w hingga ke akhir hayat baginda selalu menyebut-nyebut namanya. Sehingga baginda sendiri pernah bersabda:
"...Demi Allah, aku tidak pernah mendapat pengganti yang lebih baik daripada Khadijah. Dia yang beriman kepadaku ketika semua orang ingkar. Dia mempercayaiku ketika semua orang mendustakanku. Dia yang memberiku harta pada saat semua orang enggan memberi. Dan darinya aku memperoleh keturunan- sesuatu yang tidak kuperoleh dari isteri-isteriku yang lain."(H.R. Ahmad)
~Ya Allah, jika dia benar untukku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu.
(Permata Yang Dicari-DeHearty-)~
0 comments:
Post a Comment