::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 9, 2009

Lapangkan Hati Seluas Laut Membiru


~Sesungguhnya aku benar-benar berharap kepada Allah, sehingga dengan kesabaran yang baik seakan-akan aku dapat melihat apa sahaja yang telah dilakukan oleh Allah untukku...~
Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni


Lapangkan hatimu umpama seluas sebuah tasik yang besar mahupun laut membiru yang terbentang luas. Kiranya hatimu yang luas itu dicurah sebekas hempedu, maka kau mungkin tidak akan merasakan kepahitannya. Namun, kiranya hatimu secetek air di dalam gelas, maka kepahitan itu pasti memenuhi hatimu hingga engkau sukar untuk bernafas.

Kekadang manusia memandang masalah dihadapannya umpama seketul batu besar yang diletakkan di atas pundaknya yang perlu dibawa ke mana-mana. Wajahnya melukiskan seribu satu kepayahan. Senyumnya terasa sangat akan kepahitan hatta pada mata yang memandang.

Hatinya merintih, "Mengapakah aku menjadi manusia 'bertuah' memikul beban ini? Mengapakah aku tidak menjadi seperti si polan dan si polan. Hidupnya sentiasa gembira."

Walhal di hati seorang mukmin yang zahirnya terlihat kegembiraan masih ada ujian dan dugaan yang ditimpakan. Cuma bagi seorang mukmin itu, ujian adalah suatu keperluan yang perlu dihadapi dalam kehidupan. Ia bukan masalah yang membebankan. Ia adalah cabaran untuk menguji ketahanan hati dan jiwa yang berisi iman. Menguji sejauh mana rasa kesyukuran pada nikmat yang dikurniakanNya.

Ujian dan cabaran tidak akan menyebabkan seorang Muslim itu merungut pada Tuhannya. Kerana dia tahu masih ada ingatan dari Tuhan yang Mencipta itu pada diri hambaNya yang sangat kerdil itu.

Seorang Muslim yang bersyukur akan memandang semua ujian terkandung hikmah. Semua ujian itu datang kerana dirinya dikasihi Allah. Dia masih berada pada pandangan Allah yang Maha Besar.

Jadilah kita manusia yang sentiasa bersyukur. Merintih dan menangislah ketika kita bersamaNya. Pasti Dia yang Maha Mendengar mendengarkan rintihan itu kerana Dia adalah Allah yang amat menyintai hamba-hamba yang menghambakan dirinya pada Tuhan yang Maha Mencipta.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung."
(Ali-Imran; 3:200)




2 comments:

Raudhatul Nadwah on August 12, 2009 at 10:39 AM said...

Waalaikummussalam...
Kak lin, saya hanya manusia biasa yang banyak kekurangan dan perlu banyak penambahbaikan.
=)

Haqemi on August 15, 2009 at 9:57 AM said...

Sahabatku bersyukurlah atas setiap pemberianNya kepadamu, walaupun itu hanya sekedipan matamu, niscaya nikmat Allah akan terus mengalir.

Bersabarlah sahabat. . . dalam semua keadaan, dalam kelapangan, dalam kesempitan, dalam kesenangan, dan dalam kesedihan yang engkau alami, sesungguhnya kurniaan dariNya, pahala disisiNya jauh lebih baik dan lebih mulia buatmu syg..

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino