Alhamdulillah, rasa sangat beruntung dikurniakan ibu yang sanggup berkorban berkali-kali ganda lebih dari ibu dalam cerita 'batu belah batu bertangkup'.
Ibu, Mama, Umi, Ma, Bonda, Omma atau apa sahaja panggilan kepadanya tetap menggambarkan itulah wanita yang melahirkan kita.
Dialah yang sebenarnya melebihkan anak-anaknya dari dirinya sendiri. Beruntunglah anak yang sentiasa menghargai ibunya seperti kisah Uwais Al-Qarni , pemuda miskin yang sentiasa setia menjaga ibunya yang lumpuh dan tua hingga dijanjikan syurga oleh Allah dan dipuji baginda Rasululllah.
Berkata Rasulullah pada para sahabat (Saidina Umar ra. dan Saidina Ali r.a), "Suatu ketika apabila kalian bertemu dengan dia, maka minta do'a dan istighfarnya. Dialah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Walaupun sebenarnya masih ada ibu-ibu yang lebih dasyat lagi dari ibu 'batu belah batu bertangkup', mengorbankan diri anaknya yang baru dilahirkan ke tempat-tempat pembuangan, moga Allah menunjukkannya jalan pulang, seperti pulangnya Umar r.a kembali kepada Islam.
Ibu yang mengasihi sanggup berlapar demi anaknya, turut bersedih kerananya, turut gembira juga untuknya. Hatinya penuh tulus menyaksikan setiap gerak geri anaknya, cepat tersentuh dengan kata-katanya, punya intuisi hati yang tinggi buat anak yang dikandungkannya. Dialah wanita yang dikurniakan Allah sebagai permata yang tidak mungkin dapat dijual beli dengan nilaian harga infiniti.
Abu Hurairah r.a berkata:
Seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya:
"Siapakah manusia yang berhak aku layan sebaik-baiknya?"
Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya, "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ayahmu."
(Hadith Riwayat Bukhari)
~Maafkan anakmu ini yang sering mengundang deras angin resah di hati. Moga dapat ku lakar pelangi setiap hari dalam sapaan angin lembut kasih di taman hatimu, ibu...~
0 comments:
Post a Comment