::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 30, 2009

Suratan-Nya Memanggil Kembali


~Masih ingat lagu Raihan?
Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara...
Kaya sebelum Miskin, Muda sebelum Tua, Lapang sebelum Sempit, Sihat sebelum Sakit, Hidup sebelum Mati~
Sudah hampir empat tahun saya menjadi pelajar kejururawatan, pengalaman sebagai 'health care provider' sudah dapat diselami sedikit demi sedikit. Terlalu banyak untuk diceritakan. Itu baru menjadi seorang pelajar. Bagaimana pula pada 'health care providers' yang sudah bertahun-tahun lama menimba pengalaman. Tentu lebih banyak lagi hikmah dari setiap kejadian yang dilalui dan dilihat dengan mata dalam kehidupan.

Saya tidak pernah terfikir akan mengambil 'course nursing' ini sebelum masuk ke universiti. Tidak pernah ada dalam 'checklist' cita-cita ketika masih menjadi pelajar sekolah dulu. Apatah lagi saya masih pening-pening dengan bau hospital suatu ketika dulu. Namun, setelah berada sebahagian dari keluarga kejururawatan ini, saya melihat kehidupan dan kematian silih berganti, saya belajar sesuatu. Begitu dekatnya kita pada kematian. Begitu pantas masa yang berlalu, seolah-olah seperti baru semalam kita masih terdaya berjalan dan berlari, namun, kini, diri melihat tubuh yang tak berdaya terbaring lemah. Semuanya satu peringatan buat hamba yang sering lupa bahawa satu hari nanti kita pasti 'ke sana'. Seperti sabda Nabi Junjungan Mulia, Muhammad s.a.w; ingat 5 perkara sebelum 5 perkara.

Pengalaman pertama saya ketika menjaga seorang pesakit berketurunan India. Saya berjumpa dengannya ketika 'posting' pertama dan kedua saya iaitu pada semester pertama dan kedua, di wad yang berbeza. Mungkin sudah ditakdirkanNya untuk saya menjaganya lagi hingga ke hari-hari terakhir 'dia' dijemput pergi. Pada hari terakhir bersamanya, saya dan rakan melakukan nursing care yang sepatutnya. Dia nampak girang dan juga ramah ketika berbual bersama. Nampak masih sihat lagi. Keadaannya belum nampak deteriorate ketika itu. Tidak terlintas bahawa dia akan 'pergi'. Namun, selepas kembali ke hospital setelah cuti hujung minggu, saya tercari-cari di manakah pesakit itu.

"Makcik tu dah takda". Kata seorang jururawat terlatih ketika saya bertanya kepadanya.

"Oh, dah keluar ke?" saya bertanya kembali. Ingin mendapatkan kepastian. Mungkin makcik itu sudah dibenarkan keluar wad oleh doktor.

"Tak, dah meninggal malam Sabtu." Balas jururawat itu.

Saya masih tidak berpuas hati. Saya bertanya kenapa dan bagaimana ia terjadi. Seolah-olah saya tidak dapat menerima bahawa orang yang sihat yang kita jaga selama ini sudah pergi. Saya seolah-olah cuba menyalahkan situasi yang menjadi asbab pada kematian itu.

Mungkin benar seperti yang diterangkan oleh Elisabeth Kubler-Ross dalam Kubler-Ross model; terdapat 5 peringkat 'grieving' : denial, anger, bargaining, depression and acceptance. Saya juga turut merasainya.

Kini, saya sudah menyaksikan beberapa kematian di depan mata. Hari ini saja saya melihatnya lagi, namun, dengan cara yang berbeza. Sukar untuk dihuraikan dengan kata-kata sebuah perasaan. Namun, heningnya amat terasa apabila 'dia' perlahan-lahan dilepaskan dari pergantungan pada alat pernafasan dan juga ubat-ubatan. Hakikatnya, Dia sudah memanggil hambaNya. Detik demi detik melihatnya pergi, melihat roh yang dipinjamkan sementara ke dalam jasad sudah diambil Tuan Empunya. Moga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Ameen.

Teringat pesanan seorang daie. Moga kami yang belajar di bidang perubatan dan yang berkaitan dengannya ini, yang melihat kematian sering kali berlaku di hadapan mata ini akan terus mengambil pengajaran pada setiap kejadian itu. Mohon agar hati sentiasa tersentuh dengan peristiwa seperti ini. Mohon agar usah hati ini menjadi keras seperti alah bias tegal biasa pada setiap kali melihat roh yang terpisah dari jasadnya.


~"Dari Dia kita datang dan kepadaNya kita kembali."~

2 comments:

Asnija on October 2, 2009 at 9:28 AM said...

Salam Nadiah,
Apapun yang kita pelajari, memang banyak yang kita perlu ambil iktibar...jika tidak...cara kita menuntut ilmu akan jadi sama seperti orang kafir menuntut ilmu...

Allahpun kata, ambillah pengajaran dari apa yang kita lihat, dengar dan rasa...

Raudhatul Nadwah on October 2, 2009 at 4:48 PM said...

InsyaAllah, semoga dengan makin berilmu kita, makin dekat kita dengan Allah...
Terima kasih, kak.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino