"Wahai Mamanda Menteri, sudah difikirkankah penyelesaiannya pada masalah beta kelmarin? Apakah Ladang Iman masih lagi tidak cukup menghasilkan tuaian Taqwa yang tinggi di bulan mulia ini?"
Tanya si Raja Hati kepada Menteri Akal yang dipanggilnya mengadap ke istana.
"Nampaknya masih belum. Namun, patik sudah melakukan beberapa siasatan." Jawab Menteri Akal. Terketar-ketar, takut untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan kerana jawapannya masih belum ada.
"Masih belum? Apakah malangnya diri ini! Di waktu semua Raja-Raja Kegelapan dan Perosak sudah ditawan, Taqwa masih belum lagi dapat dihasilkan mengikut apa yang Tuhan beta mahukan. Di mana beta hendak letakkan wajah ini wahai Mamanda Menteri?"
Ujar Raja Hati dengan rasa kecewa. Pandangannya dilontarkan jauh ke luar jendela.
Menteri Akal tertunduk diam. Namun, otaknya masih berfikir ligat.
"Bagaimana dengan rakyat jelata beta yang lain, adakah mereka juga terkesan dengan keadaan ini?" Tanya si Raja Hati.
"Setakat ini rakyat jelata dalam keadaan selamat, baik di daerah Mata, Telinga, Kaki dan sebagainya. Mungkin kerana di bulan Ramadhan ini, sempadan telah perketatkan."
Jawab Menteri Akal sedikit yakin. Cubaan untuk mengurangkan kegelisahan di hati Raja.
"Wahai Menteri Akal, fikirkanlah sesuatu. Beta malu pada Tuhan beta. Telah dipenjarakan oleh-Nya segala Raja-Raja Kegelapan dan Perosak, namun, beta masih tidak mampu untuk menghasilkan tuaian Taqwa yang berkualiti dan tinggi nilainya sebagai penghargaan pada Tuhan yang telah menjaga Negara Diri ini."
"Beta beri tempoh Mamanda Menteri untuk fikirkan hingga esok hari."
Gelisah hati si Raja nampaknya masih belum dapat dibendung. Perintah itu benar-benar telah menggetarkan hati Menteri Akal.
Menteri Akal mohon beransur. Bulan Ramadhan sudah makin sampai ke hujungnya. Bermakna tempoh menuai sudah dekat pada waktunya.
Menteri Akal bertekad untuk ke Ladang Iman sendiri. Mungkin di situ dia akan bertemu jawapannya. Puas difikirkan tentang punca tuaian Taqwa yang kurang menjadi. Virus perosak tiada. Ladang Iman sudah dibaja.
Menteri Akal sampai ke Ladang Iman. Pohon-pohon Taqwa nampaknya mula tumbuh mekar. Tentu pohon-pohon Taqwa ini akan menghasilkan haruman hingga ke seluruh Negara Diri.
Menteri Akal terus berjalan ke setiap batas Ladang Iman. Beberapa batas yang dilalui, semuanya tumbuh mekar. Tiada cacat cela. Namun, apabila tiba di batas seterusnya, Menteri Akal melihat pohon-pohon Taqwa yang tumbuh lesu. Daunnya kekuningan seperti tidak cukup makan. Apakah sebabnya?
Dalam perjalanan pulang, Menteri Akal masih lagi gusar. Beliau terserempak Pegawai Nafsu di pertengahan jalan.
"Mengapakah Menteri kelihatan berduka cita?" tanya Pegawai Nafsu.
Menteri Akal menceritakan kisahnya. Masih buntu mencari jalan penyelesaian.
"Jika begitu, pergilah ke Klinik Muhasabah. Bukankah itu yang selalu dinasihati oleh Menteri pada diriku dulu. Mungkin Tabib-Tabib di situ dapat membantu." cadang Pegawai Nafsu. Wajahnya kelihatan lebih tenang bila Ramadhan tiba.
Maka, bertemulah Menteri Akal dengan Tabib-Tabib yang ada, baik Zikir Munajat, Kitabullah dan sebagainya. Rupa-rupanya Ladang Iman masih belum mendapat penawar sepenuhnya bagi virus-virus yang masih ada. Ada yang tidak lengkap rawatannya. Tabib Istighfar hanya dijemput beberapa kali saja bulan ini. Kecil betul hatinya apabila tidak dimahukan seperti Tabib-Tabib yang lain.
"Kotoran itu perlu dibuang sepenuhnya. Bukan separuh-separuh.", Ujar salah seorang Tabib.
Menteri Akal kembali menemui Raja Hati, menyampaikan berita gembira ini. Masih berharap sempat menghasilkan Taqwa dan Iman yang benar-benar dimahukan Tuhan yang Mencipta mereka.
~Menyerap yang perlu, menyingkir yang tidak perlu~
1 comments:
Salam Dik Nadiah,
Memang betul, banyak perkara tidak boleh sekadar mengikut logik akal, mesti juga mengikut logik takwa. Contohnya, mengikut akal, kita bimbang bila tak study, nanti tak boleh jawab soalan exam, fikiran begitu, memang betul, tak salah pun...
tapi belajar itu menjadi suatu jihad, bila dibuat mengikut logik takwa...yaitu, kena belajar kerana menuntut ilmu suatu amanah, amanah kepada diri sendiri, amanah dari ibu bapa, amanah agama juga...tujuan belajar juga perlu pada paradigma yang baru, iaitu belajar untuk mengajar semula...sebab ilmu yang dituntut, perlulah dikongsi dengan orang lain...
jadi bila jadi jururawat, nanti, boleh menasihati pesakit tentang penyakitnya dan rasional rawatan yang diterima nya...bergantung kepada bidang kuasa yang kita ada...
Post a Comment