::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 15, 2009

Seruan Buat Si Belangkas



Artikel ini telah lama saya simpan kemas di dalam komputer. Mungkin sudah 2-3 tahun yang dulu. Ingin saya menyiarkan ia di sini buat diri dan juga teman-teman.

Renung-renungkan dan fikir-fikirkan. Buat evaluasi, koreksi diri mahupun mungkin tindakan susulan. Semoga bermanfaat pada diri dan teman-teman semua.

Penulis: Fatimah Syarha Mohd Noordin

Menyorot dasyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Pemuda meratah dara sesuka hati. Gadis hilang harga diri. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.

Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!
Bukankah Allah telah menyediakan jalan yang halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.
"Ingat nikah tu senang?!" Mungkin inilah persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang hangat bercinta. Samada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat suci tersebut boleh mengundang keberkatan dari sisi-Nya. Niat yang bersih berperanan mengawal haluan cinta agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumah-tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi!
Dalam urusan jodoh, apapun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (perbincangan). Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis. Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syara' yang dibina. Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya.

Bagi gadis suci yang belum berpunya, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah. Ingat. urusan jodoh itu bukan ditentukan oleh lelaki, ibubapa atau sesiapa, tetapi ianya urusan Allah s.w.t. Dah sedia termaktub di loh mahfuz. Berkat usaha, anda juga boleh memulakannya jika punyai keberanian yang tinggi. Manusia hanya mampu berusaha tapi tak berdaya menentukan apa-apa tanpa izin-Nya. Oleh itu, jangan risau jika belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu bagi anda untuk terus melangkah menggapai cita-cita dan Dia pasti menguji anda sedikit masa lagi. Bersiap-sedialah. Anda pasti akan dijodohkan. Jika tidak di dunia nun di syurga.

Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, tabahlah dan teruskan berusaha. Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha!

"Apa yang memberi faedah kepada orang beriman selepas taqwa kepada Allah, kebaikan buatnya ialah isteri yang solehah." (Hadith Riwayat Thobrani)

Khusus buat pemuda pemudi yang sudah jatuh cinta.
Dengarilah kalamku seterusnya istimewa buatmu. Yang masih tak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, teruskan belajar atau bekerja atau mengejar cita-cita. Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sedangkan ada hadis yang menyuruh agar menyegerakan nikah bagi sudah bertemu calonnya. Syabab selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bidadarinya dan seluruh isi rumahnya. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betulkan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah. Ia lahir dari sifat tanggung-jawab. Ia juga lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan bukan suka-suka tapi penuh tanggung-jawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiripun sukar dibiaya apatah lagi hidup orang lain? Faktor ini membuatkan syabab takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai materialisme dalam menjalani kehidupan.

Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita bersikap optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:
"Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui." (An-Nur:32). Nah, Allah telahpun memberi jaminan ! Jaminan siapakah yang lebih patut dipercayai?

Umar Al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari Al-Qurtubhi:
"Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya."

Nabi Muhammad s.a.w juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat Abu Hurairah r.a:
"Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang." (HR Bukhori dan Muslim).

Tidak hairanlah Ibnu Mas'ud pernah berkata,
"Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan," kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat Hawa, yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Samada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.

Buat syabab, rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda:
"Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual yang baik." (HR Ahmad, Baihaqi dan lain-lain.)

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!

Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan). Perlaksanaan khitbah dalam Islam ada pelbagai cara sebagaimana dicontohkan dalam sirah antaranya,
1) Khitbah melalui keluarga si gadis
2)Khitbah dengan menyampaikan secara langsung kepada si gadis bukan walinya
3) Khitbah si gadis kepada lelaki soleh melalui orang tua atau kerabat atau dirinya sendiri.
4) Khitbah secara sindiran semasa iddah.
Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.

Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a menjelaskan,
"Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya." (HR Ahmad). Oh, kaum Hawa! Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!
Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoa pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.
"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah." (HR Bukhori).

* Penulis adalah pengarang novel Tautan Kasih, Syabab Musafir Kasih, Seindah Mawar Berduri, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul dan kolumnis Majalah Solusi.

~Terima kasih Ukhti atas keizinan copy artikel di sini... Jazakillah~

2 comments:

cik siti on September 16, 2009 at 9:39 PM said...

assalamualaikum.kak naddy,igt kte g x?hehe
nk copy ea artikel ni.tq=)

Raudhatul Nadwah on September 17, 2009 at 3:59 PM said...

waalaikumsalam.
Alhamdulillah, masih ingat lagi. =)
Boleh... sebar-sebarkanlah perkara-perkara yang membawa pd kebaikan. Cuma harap boleh letak nama penulis asalnya sekali.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino